Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju mengkaji keperluan penubuhan satu Jawatankuasa Aduan (JKA) bagi memantau aduan salah laku 20 agensi penguatkuasaan lain selain Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia susulan cadangan Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) berhubung perkara itu.

"Kita bersetuju untuk kajian penubuhan Jawatankuasa Aduan yang baharu, ia akan diletakkan dibawah jabatan yang sama. Tetapi agensi lain akan berada dibawah pemantauan jawatankuasa ini.

"Ini bagi memastikan pemantauan ke atas 20 agensi penguatkuasaan berkenaan dapat terus dilakukan seiring dengan pemantauan PDRM," kata Perdana Menteri dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya pada Selasa.

Ditanya bilakah penubuhan JKA itu akan dilakukan, beliau berkata ia akan ditubuhkan secepat mungkin.