KUALA LUMPUR: Jawatankuasa bagi meneliti persidangan Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, dikhuatiri boleh menimbulkan isu sama ada ia sah atau tidak dari segi undang-undang.

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam berkata, jawatankuasa sedemikian langsung tidak diperuntukkan keperluan atau fungsi di mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

Jelas peguam itu lagi, Perkara 14 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 telah memberikan kuasa pemanggilan persidangan Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.

Manakala selepas tamatnya tempoh Darurat, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan pula mensyaratkan setiap persidangan Parlimen selanjutnya mesti dipanggil oleh Agong di bawah nasihat Perdana Menteri, dalam suatu tempoh yang tidak lebih daripada enam bulan daripada persidangan lepas.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 14, Ordinan Darurat, syarat ketat di bawah Perkara 55  untuk mengadakan setiap persidangan Parlimen tidak lebih daripada jarak enam bulan berkenaan, hanya “tidak mempunyai kesan” dalam tempoh darurat dan bukan “digantungkan”.

“Maka oleh kerana persidangan Parlimen terakhir yang lepas telah diadakan pada 17.12.2020, persidangan Parlimen selanjutnya perlu diadakan sebaik sahaja tempoh darurat tersebut berhenti berkuatkuasa pada 01.08.2021, untuk mengelak daripada sebarang krisis Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri pada Ahad mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang bagi meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Tambahnya lagi, kerajaan antara lain perlu mengambil kira sama ada persidangan boleh diadakan secara fizikal dan sama ada pelaksanaan secara hibrid selari adalah dengan peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

BACA: Buka Parlimen: Kaedah sidang ditentukan jawatankuasa bersama – PM 

Mengulas lanjut, Kian Nam berkata, pemanggilan persidangan Parlimen dalam masa tersingkat ini adalah penting untuk mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan yang dipegang oleh negara selama ini,

Dan ini, tambah beliau lagi, termasuk sebagai penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk disegerakan mesyuarat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Malaysia kini di bawah krisis kesihatan yang paling ketara dan mencabar selepas kemerdekaan dengan merebaknya wabak COVID-19 ini secara meluas sehingga di luar kawalan.

“Maka adalah penting di mana pelbagai rancangan penting yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan pada masa kini dibentangkan, dipantau dan dibahas oleh Ahli-ahli Parlimen untuk memastikan polisi-polisi berkenaan adalah benar-benar telus, adil, munasabah dan paling penting selaras dengan hasrat dan kepentingan rakyat,” tambah beliau lagi.