Jawatankuasa Kariah Taman Pelangi beri penjelasan insiden solat Aidiladha - Zakiyuddin

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 22, 2021 05:39 MYT
Sebelum ini, tular di laman sosial video berdurasi 22 saat memaparkan kumpulan lebih 200 warga asing melakukan solat sunat Aidiladha di atas jalan raya di Taman Pelangi. - Foto Media sosial
GEORGE TOWN: Susulan tindakan sekumpulan warga asing yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di perkarangan Surau Taman Pelangi, Juru baru-baru ini, Jawatankuasa Kariah Taman Pelangi telah diminta beri penjelasan.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya meminta penjelasan lanjut daripada Pengerusi kariah Taman Pelangi dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berhubung perkara itu.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pihak kariah sudah mematuhi SOP ditetapkan iaitu dengan hanya membenarkan 100 jemaah dalam kalangan warganegara dan telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.
Malah katanya, jawatankuasa kariah juga sudah mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa masuk sejurus sebelum solat dimulakan.
Katanya, Pengerusi kariah juga turut memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan selain menekankan bahawa warga asing tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha.
Namun katanya, kumpulan warga asing tersebut tetap berdegil dan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau untuk sama-sama mengikuti solat yang sedang berlangsung.
Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) berkata,pihaknya berterima kasih kepada pasukan polis yang telah mengambil tindakan segera dengan menahan mereka yang terlibat.
Namun dalam masa yang sama, beliau menyampaikan rasa kurang senang orang ramai apabila melihat imej tahanan yang dibawa ke mahkamah untuk proses tahanan kerana bersembahyang tetapi melanggar SOP dengan tidak memakai kasut dan digari.
Beliau berharap polis dapat melaksanakan tugas menggunakan budi bicara dalam menguruskan perkara itu.
AWANI Ringkas: Polis siasat insiden ketika solat Aidiladha
Pada masa sama beliau berharap insiden berkenaan juga menjadi peringatan kepada semua khususnya pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk sama-sama mengambil serius pematuhan SOP yang ditetapkan.
Zakiyuddin berkata demikian dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, tular di laman sosial video berdurasi 22 saat memaparkan kumpulan lebih 200 warga asing melakukan solat sunat Aidiladha di atas jalan raya di Taman Pelangi.
Menurut Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebelum ini, solat sunat Aidiladha hanya dibenar dilakukan di masjid negeri dan daerah dengan kapasiti 150 orang, masjid kariah, 100 orang serta surau, 50 orang.
Langgar SOP | Langgar SOP solat sunat Aidiladha, 49 lelaki bantu direman
Susulan insiden itu, polis telah menahan seramai 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan di kawasan perumahan berkenaan sejurus menerima laporan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
#Aidiladha #Bangladesh #pendatang asing #SOP #COVID-19 #solat #hari raya