PUTRAJAYA: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Anggota Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas di sini hari ini berkata anggota Jawatankuasa Khas itu mempunyai kredibiliti serta kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang perundangan.

"Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mohd Na'im berkata kerajaan menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang yang berbangkit susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.



MOHD NA'IM-JAWATANKUASA 2 PUTRAJAYA



Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu diyakini mampu mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah daripada berterusan.

"Ini merupakan satu daripada usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan negeri dan antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini," katanya.

Mohd Na'im dalam sidang media kemudian berkata Jawatankuasa Khas itu akan mengadakan libat urus dengan majlis agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan pandangan mereka dan syor-syor yang dibuat akan dikemukakan ke MKI dan seterusnya mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.

"Jawatankuasa Khas ini akan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, wasiat dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu akan meneliti alasan penghakiman yang dikemukakan bukan saja dalam kes Iki Putra Mubarak tetapi juga kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.



MOHD NA'IM-JAWATANKUASA 3 (AKHIR) PUTRAJAYA



Dalam kes Iki Putra Mubarak, media melaporkan dia yang telah didakwa di mahkamah syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor, namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Pada 25 Feb 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang yang dibuat oleh Iki Putra terhadap Seksyen 28 EJSS 1995, sekali gus mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Nik Elin Zurina pula dilaporkan telah memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah, selain memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

-- BERNAMA