KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam menjalankan libat urus di peringkat negeri, ulama dan ahli akademik bagi memperkasakan sistem Mahkamah Syariah.

Perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 15 Februari lalu.

Tegas Anwar, keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 baru-baru ini telah digunakan untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Saya sudah minta, saya nak jawatankuasa bincang dengan negeri, ulama, mufti dan ahli akademik. Biar kita dengar semua, putuskan, kemuka pandangan dan kita teliti, dari segi Perlembagaan, Jabatan Peguam Negara, kemudian Majlis Raja-Raja bawa balik kepada jemaah menteri.

"Jemaah menteri mesti putuskan dan bawa ke Parlimen dan ahli Parlimen kena bersetuju pindaan perlembagaan, dua pertiga daripada ahli Parlimen, itu prosesnya.

"Dahulu ada buat? Tak. Anda boleh semak, kita ada jawatankuasa dibuat untuk kaji tetapi mereka guna ini untuk pecah belahkan kita," ketika berucap pada Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024, di Taman Tasik Titiwangsa, pada Ahad.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar juga menyelar pihak yang sengaja mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, sedangkan ia bermula semasa beliau belum menjadi perdana menteri.

"Mahkamah Persekutuan buat keputusan pertama pada 2021 dalam urusan kes Selangor, menolak keputusan Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Ada bantahan? Ada kecaman? Tidak ada, kerana mereka dalam kerajaan ketika itu.

"Kemudian timbul kes di Kelantan pada 2021 dan 2022. Saya belum menjadi perdana menteri.

"Sekarang, apabila kita berkuasa dan keputusan dibuat, kita diserang dan dicerca, termasuk Ketua Hakim Negara, sedangkan beliau membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Na'im memaklumkan, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah meminta jawatankuasa berkenaan memberikan syor bagi menyelesaikan percanggahan antara Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Syariah Negeri, dalam rangka kerja yang ditetapkan.

Na’im berkata pihak jawatankuasa dan pengerusinya, bekas ketua hakim negara, Tun Zaki Azmi dititah untuk berbuat demikian sebelum hujung tahun ini.

"Sultan Selangor telah memberi arahan dan mandat kepada Tun Zaki untuk memuktamadkan segala-galanya dalam tempoh setahun, dari Disember apabila jawatankuasa itu ditubuhkan.

"Tetapi saya mendapat komitmen daripada Tun bahawa jawatankuasa itu berjanji untuk memuktamadkan segala-galanya termasuk penglibatan dengan semua pihak berkepentingan termasuk pembangkang dan mereka akan cuba menyelesaikan dalam masa tidak lebih lapan bulan," katanya.