SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam bertitah sebagai respons terhadap cadangan Datuk Ngeh Koo Ham baru-baru ini.

Ahli Parlimen Beruas itu sebelum ini mencadangkan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Amirudin berkata, sebagai ahli politik berpengalaman, Koo Ham wajar meneliti semula setiap kali beliau mahu mengeluarkan kenyataan terutamanya berhubung isu hal ehwal agama Islam.

Saranan itu disuarakan beliau sementelah beberapa polemik sama pernah dicetuskan Ahli Parlimen Beruas itu sebelum ini.

Menurutnya, pengurusan agama Islam yang menjadi prerogatif khusus sesebuah negeri melalui payung Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu sewajarnya difahami tanpa sebarang dakwa-dakwi.

“Malah, ini sebetulnya membebani parti beliau yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik untuk sama-sama memperjuangkan agenda Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan yang jelas dan tuntas meletakkan Agama Islam di tahap tertinggi.

“Ia adalah sebagai pembuktian komitmen Pakatan Harapan melalui kombinasi strategik bersama Barisan Nasional untuk menjadi perisai pertahanan Agama Islam yang lebih baik berbanding mana-mana entiti terdahulu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang istiqamah dan tegas dalam perkara berkaitan agama Islam dan hal ehwal Melayu perlu disambut dengan adab, bijak, dan cakna oleh setiap ahli politik.

“Seyogia titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hadir tepat masanya sekali gus perlu menjadi titik noktah kepada mana-mana ahli politik yang gagal memahami realisme politik Malaysia dalam cakupan yang menyeluruh,” ujarnya.

Mewakili rakyat Selangor, beliau turut menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Sharafuddin melalui titah terkini Baginda sebagai respons balas kepada gesaan Ahli Parlimen Beruas itu.

Koo Ham sebelum ini menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan awal bulan ini.

Menurutnya, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga berkata Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan dan sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh.