Jawatankuasa kerja bagi memantau pelaksanaan program dan projek yang diperuntukkan menerusi Bajet 2018 akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam tempoh dua minggu dari sekarang, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Ali yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata pihaknya sedang menunggu senarai lengkap program dan projek daripada Kementerian Kewangan sebelum melaksanakan langkah susulan.

"Jawatankuasa ini akan memantau secara serius untuk pastikan pelaksanaan dapat disegerakan dan sampai kepada rakyat keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri, di sini, pada Rabu.

Ali yang akan dibantu Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah selaku timbalan pengerusi jawatankuasa, berkata terdapat projek yang boleh dimulakan segera tanpa perlu menunggu sehingga 1 Jan tahun depan, iaitu tarikh bajet berkuat kuasa.

Selain semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan agensi kerajaan, jawatankuasa itu juga dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara, syarikat berkaitan kerajaan serta institusi perbankan, katanya.

"Adanya jawatankuasa ini kita akan dapat dan pastikan bajet yang paling komprehensif dan inklusif ini dilaksanakan secara berkesan tanpa sebarang masalah," katanya.

Ali dalam ucapannya sebelum itu, berkata bermula 2018, Petunjuk Prestasi Utama semua ketua setiausaha kementerian turut merangkumi pelaksanaan projek mengikut jadual dan kos yang ditetapkan.

Katanya ini selaras dengan komitmen yang telah dijanjikan beliau bagi pihak penjawat awam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa keseluruhan penjawat awam akan melaksanakan segera Bajet 2018 tanpa kepincangan.

"Ini bagi memastikan rakyat, keluarga dan saudara-mara kita di luar sana mampu memperoleh faedah secara langsung daripada janji kerajaan," katanya.

Ali berkata Bajet 2018 yang dibentangkan perdana menteri pada 27 Okt itu adalah paling inklusif, komprehensif serta bertanggungjawab kerana menyediakan insentif-insentif dan program khusus untuk memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat.

Beliau berkata bajet bertanggungjawab itu dilakukan di sebalik usaha-usaha kerajaan berdepan dengan cabaran-cabaran di luar kawalan dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya maklum balas pelbagai pihak seperti penjawat awam, pesara, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta golongan muda mengenai bajet yang dibentangkan itu ternyata positif.

Beliau berkata pelbagai langkah bagi meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan awam seperti pemilihan pegawai yang berkaliber tanpa mengira usia untuk mengikuti program 'fast-track' iaitu dinaikkan pangkat secara cepat selepas melalui beberapa tapisan penilaian.

Beliau berkata penggunaan pengkomputeran awan untuk platform teknologi maklumat dan komunikasi kerajaan juga akan dimulakan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih berkesan dan efisien.

Beberapa jabatan dan agensi tertentu antaranya Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia juga akan distruktur semula untuk memikul peranan lebih besar ke arah peningkatan keupayaan perkhidmatan awam, kata Ali.

-- BERNAMA