KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) teruskan menurunkan yuran pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) ketika pandemik melanda.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa yang dianggota tujuh Ahli Parlimen PH pada Jumaat, ia melibatkan kepentingan lebih 500,000 pelajar IPTA di seluruh negara.

Ini termasuk menurunkan yuran dengan mengecualikan yuran-yuran tidak berkaitan sewaktu kebanyakan pelajar menjalani sesi kuliah dan pembelajaran secara dalam talian.

Bagi IPTS pula, jawatankuasa turut berharap agar kerajaan dapat memberikan subsidi bayaran yuran kepada para pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang masih belajar.

Kelangsungan institusi pendidikan IPTA dan IPTS juga perlu diberikan perhatian, ujarnya.

Jesteru JKPPH turut menggesa agar kerajaan memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan yuran itu bagi menampung kos pengurusan universiti melalui geran-geran khas ketika era pandemik ini.

Ini termasuk menyalurkan lebih banyak geran-geran pembangunan infrastruktur dan infostruktur dgital di kesemua 20 Universiti Awam demi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital.

Jawatankuas itu turut mencadangkan agar pengecualian cukai ke atas IPTS juga boleh dilakukan berdasarkan jumlah biasiswa yang mereka berikan kepada pelajar yang memerlukan serta berdasarkan penurunan yuran yang mereka berikan kepada pelajar tempatan.

Kesemua cadangan ini adalah hasil siri pertemuan antara wakil pelajar dan pihak pentadbir universiti mereka.

Antara tujuh Ahli Parlimen yang terlibat dalam JKPPH adalah Dr Maszlee Malik, (Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa), Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai), Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), dan Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu).