[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu bukan bermotif politik - Tun M

Astro Awani 04/06/2025 | 15:19 MYT
Jelas Dr Mahathir, sekretariat itu juga bertujuan mencari jalan agar orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Satu inisiatif baharu dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu digerakkan untuk menggabungkan bangsa majoriti itu di bawah satu payung besar.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gerakan tidak rasmi itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu.

Jelas beliau, sekretariat itu juga bertujuan mencari jalan agar orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.

“Ketika ini orang Melayu belum ada pejuang yang khusus. Tetapi sekarang ini kita tak peduli tentang masalah-masalah lain, kita cuma nak tumpu kepada satu perjuangan saja. Iaitu perjuangan menyelamatkan orang Melayu.

"... Dan kita tahu ada banyak masalah yang dihadapi oleh orang Melayu yang cuma boleh diatasi kalau kerajaan ini dikuasai oleh orang Melayu," katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Rabu.

Hadir sama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dr Mahathir memaklumkan semua orang Melayu dialu-alukan menyertai gerakan ini, termasuk ahli-ahli UMNO, jika mereka bersetuju dengan matlamat perjuangan menyelamatkan maruah bangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah akan mengetuai usaha awal menggerakkan sekretariat ini bersama rakan-rakan lain, dengan objektif mewujudkan satu barisan penyatuan Melayu yang lebih tersusun.


#Mahathir Mohamad #Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu #Hak orang Melayu