Jawatankuasa teknikal ditubuh lindungi syarikat Malaysia dalam sektor komoditi - Johari

Bernama
Februari 16, 2024 02:45 MYT
Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk melindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi bagi mendepani isu-isu berbangkit, kata Johari.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk melindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi bagi mendepani isu-isu berbangkit.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jawatankuasa teknikal tersebut akan memastikan bahawa syarikat-syarikat Malaysia dalam sektor tersebut akan dapat menjalankan perniagaan mereka serta mengeksport tanpa ada sebarang halangan dari negara luar.
"Hari ini saya telah mengadakan satu perbincangan yang sangat penting bersama Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memastikan produk-produk berkaitan komoditi Malaysia yang dieksport ke luar negara tidak terjejas akibat daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
"EUDR ini boleh memberi implikasi dan menjejaskan produk-produk sektor komoditi Malaysia untuk dieksport jika kita tidak mematuhinya," kata beliau dalam satu hantaran di laman X malam tadi.
Johari berkata nilai eksport bagi sektor komoditi Malaysia mencecah lebih RM160 bilion setahun dan ia menyumbang sebanyak 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menghasilkan lebih satu juta peluang pekerjaan.
Tambahnya, Malaysia juga berpotensi mendapat persepsi negatif di peringkat global sekiranya tidak melibatkan diri secara langsung dalam menangani isu-isu hutan dan kelestarian alam. - BERNAMA
#JOHARI ABDUL GHANI #KDNK #syarikat Malaysia #sektor komoditi