KUALA LUMPUR: Peranan Jawatankuasa Terpilih Parlimen perlu lebih diberdayakan dalam menjadi badan semak imbang kepada kabinet.

Kata Felo Penyelidik Society For Empowerment & Economic Development of Sabah (SEEDS), Rahezzal Shah Abdul Karim, badan itu adalah sebenarnya jentera yang menggerakkan Parlimen supaya institusi itu terus berfungsi.

Pengenalannya ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), katanya, membawa sedikit perubahan kepada institusi Parlimen, namun kewujudannya sahaja tidak memadai.

“Sebelum ini hanya ada Jawatankuasa Tetap yang memastikan kelancaran tadbir urus dan prosedur Parlimen, tetapi dari segi semak imbang, memantau pelaksanaan setiap kementerian, tidak ada.

“Selepas waktu PH, ia diteruskan di bawah kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana setiap itu sepatutnya untuk membayangi setiap fungsi apa yang dilakukan oleh Parlimen,” katanya kepada Astro AWANI.

Namun, kata Rahezzal Shah, kelazimannya, komposisi dalam Jawatankuasa Terpilih itu dicerminkan daripada bilangan wakil rakyat mengikut blok di dalam Parlimen.

Misalnya, jika ada 60 peratus Ahli Parlimen kerajaan dan 40 peratus Ahli Parlimen pembangkang, begitu juga kuotanya di dalam keanggotaan jawatankuasa tersebut.

“Sebab itulah, dalam kertas kerja yang kita edarkan kepada masyarakat sivil, kita menyatakan bahawa Jawatankuasa Terpilih itu perlu yang pertamanya diwujudkan untuk membayangi setiap kementerian.

“Dan setiap jawatankuasa tadi, contohnya ada 10 jawatankuasa, lima daripadanya diketuai atau dipengerusikan oleh pembangkang dan lima lagi kerajaan.

“Begitu juga komposisinya diimbangi serupa, 50 peratus kerajaan 50 peratus pembangkang.

"Dan boleh ada keadaan pertindanan. Maksudnya, seorang Ahli Parlimen itu, sama ada kerajaan atau pembangkang boleh duduk di jawatankuasa ini,” tambahnya.

Menurut Rahezzal Shah, yang dipamerkan di dalam Dewan Rakyat cuma sebuah pentas mengajukan polisi dan pendapat secara terbuka, tetapi yang menggerakkan sesebuah idea itu sehingga terlaksana adalah jawatankuasa ini yang perlu diperkasakan.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis, yang turut disertai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook.

Tonton di sini:

Jawatankuasa Terpilih nadi sebenar Parlimen, perlu diperkasa - Rahezzal Shah

Dialog Tiga Penjuru: 100 Hari | Liga Juara-Juara Rakyat