KUALA LUMPUR: Rerformasi institusi yang dijanjikan perlu melibatkan pembentukan jawatankuasa tetap dianggotai ahli Parlimen yang dapat memantau prestasi setiap kementerian.

Kata pakar Parlimen, Maha Balakrishnan, jawatankuasa itu harus diberi kuasa secukupnya untuk menjalankan tugas mereka dalam memastikan kerajaan beroperasi dengan telus, bersih dan cekap.

Tegasnya, fungsi Parlimen dalam sesebuah demokrasi harus diperhalusi supaya ia memberi keupayaan yang diperlukan kepada ahlinya untuk menjalankan tugas dan peranan sepenuhnya.

KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023

“Masalah dengan perjanjian persefahaman (MoU) sebelum ini ialah ia tidak termasuk pindaan yang diperlukan kepada undang-undang dan peraturan, tidak meninggalkan manfaat (yang kekal) kepada Parlimen.

“Jadi kita kena memastikan bahawa sebuah sistem jawatankuasa tetap didirikan dan harus diberi kuasa yang secukupnya supaya kita tidak akan lihat perkara yang berlaku kepada (Tan Sri) Azam Baki berlaku lagi,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Tambah Maha, perlu juga satu bentuk jawatankuasa tetap yang berperanan sebagai perunding kepada sebarang Rang Undang-Undang (RUU) terutamanya yang substantif.

Ketika ini menurut beliau tiada peraturan dalam proses penggubalan undang-undang yang menetapkan masa yang cukup untuk sesuatu RUU itu diperbahaskan sebaiknya sebelum diluluskan.

“Bagi saya kita harus menyatakan satu tempoh masa tetap untuk setiap peringkat penggubalan RUU, dan juga harus memulakan satu amalan baharu di mana setiap RUU substantif dirujuk kepada sebuah jawatankuasa.

“Ini akan membolehkan perundingan awam dijalankan.”

Jawatankuasa tetap Parlimen pantau kementerian perlu ditubuhkan - Pakar Parlimen