[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

JAWI siasat jualan, penggunaan komponen motosikal bersimbol lucah

Bernama 25/11/2025 | 03:40 MYT
Hanifuddin berkata tindakan itu diambil susulan sebuah video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial yang menimbulkan kebimbangan berhubung perkara tersebut. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyiasat dakwaan berhubung pihak yang mengeluarkan dan menggunakan komponen disc brake motosikal dengan lambang lucah.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan, memaklumkan tindakan itu diambil susulan sebuah video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial bernama Shinji Nagato, yang menimbulkan kebimbangan berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata lokasi pengeluaran barangan berkenaan masih tidak diketahui.

"Sehubungan itu, pihak JAWI akan menjalankan siasatan lanjut dan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana ia melibatkan pengeluaran barangan yang tidak sopan dan bertentangan dengan tatasusila rakyat Malaysia," katanya.

JAWI turut menasihati pengeluar dan pengguna agar tidak menggunakan sebarang lambang lucah pada produk atau barangan kegunaan mereka.

Baru-baru ini, pengguna media sosial berkenaan berkongsi video di TikTok yang memaparkan disc brake motosikal bersimbol lucah dan meminta JAWI mengambil tindakan sewajarnya.

-- BERNAMA







#JAWI #komponen disc brake motosikal #lambang lucah #Hanifuddin Roslan