IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarah melakukan operasi besar-besaran untuk memeriksa dan memastikan pili bomba di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan boleh berfungsi ketika kecemasan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, setakat ini terdapat 351,000 pili bomba milik kerajaan di samping 65,000 lagi milik swasta.

Menurutnya, sebelum ini, sebanyak 337 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah menjalankan pemeriksaan pili bomba secara berkala, mengikut jadual yang ditetapkan.

“Tapi usaha ini, mulai saat ini akan diperhebatkan untuk pastikan supaya pili bomba ia berfungsi, tekanan air yang cukup dan saya ingin menyeru semua pihak supaya berwaspada, khususnya cuaca yang amat hangat dan panas ketika ini akan meningkatkan risiko kebakaran.

“Semalam tokong dekat Sungai Petani terbakar dan hangus, kelmarin kedai runcit Ayer Tawar baru juga terbakar sehingga pemilik kedai 90 tahun nyawanya juga terkorban.

“Oleh kerana itu ini sangat penting, semua pihak kena wajib berwaspada mengambil langkah-langkah pencegahan,” katanya.

Pertingkat pemeriksaan lebih 400,000 pili bomba di seluruh negara



Beliau ditemui ketika melawat Pasar Pasir Puteh, di sini, yang musnah terbakar.

Kor Ming menasihatkan pemilik bangunan lama, khususnya premis yang berusia lebih 50 tahun supaya melakukan pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian bagi mengelakkan risiko kebakaran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung beberapa kebakaran yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut, pihak bomba sedang membuat siasatan, termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 untuk mencari punca kebakaran berkenaan.

Dalam kejadian tengah malam tadi, Pasar Awam Pasir Puteh yang telah berusia 67 tahun, musnah terbakar, menyebabkan 70 orang peniaga kecil, hilang sumber pendapatan.

Kor Ming berkata, bagi meringankan beban peniaga, bantuan kecemasan RM1,500 kepada setiap peniaga akan diserahkan esok.

Menurutnya, beliau akan meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengemukakan laporan apakah punca kebakaran.

“Pada masa yang sama, saya akan minta MBI untuk kemukakan laporan serta cadangan untuk pembinaan semula pasar awam Pasir Puteh dalam masa yang terdekat.

“Kita akan cuba bantu dan pasar, sama ada bila dan macam mana pasar baru ini akan dibina, saya akan tunggu laporan dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai.

“Saya tunggu laporan daripada MBI dan kita akan kira dengan bajet yang ada tetapi saya akan percepatkan, jadi ini akan menjadi satu projek ‘fast track’,” ujarnya.