Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bercadang untuk menubuhkan pasukan bomba sukarela yang bakal dianggotai masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman.

Pengarah JBPM negeri, Nazili Mahmood memaklumkan, ia bagi membantu operasi menyelamat sewaktu kecemasan.

“Penubuhan pasukan bomba sukarela itu dilihat penting untuk kebajikan Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman yang jaraknya jauh.

“Penduduk mereka lebih daripada 300 orang dan kami boleh melatih mereka cara memadam api dan menyelamatkan mangsa.

“Kami juga boleh bekerjasama untuk menggunakan bantuan helikopter."

Beliau menemui pemberita selepas mininjau Operasi Murni mengangkut pelajar Orang Asli menggunakan helikopter unit udara JBPM di Pusat Sivik, di sini, hari ini.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.

Sementara itu, Hashim berkata Ops Murni yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya mengangkut pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman yang terputus hubungan darat.

“Untuk operasi selama tiga hari ini seramai 224 pelajar dari penempatan orang asli dibawa keluar untuk memulakan sesi persekolahan mereka yang tertangguh."