MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperluaskan pengambilan pegawai bomba bantuan (PBB) 'Safety Water and Rescue Team' (SWAR) mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ia membabitkan empat negeri berisiko dilanda banjir besar.

Menurut Abdul Wahab, pengambilan pegawai PBB SWART itu melibatkan negeri Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Sebelum ini hanya dua negeri yang kita dapat tubuhkan kerana ia melibatkan implikasi kewangan.

"Kita juga tertangguh untuk membuat pengambilan untuk penubuhan PBB baharu ini kerana ia perlu melalui proses pemilihan temuduga serta menjalani latihan asas kekangan pandemik COVID-19, maka pengambilan ini terpaksa ditangguhkan sementara," katanya.

Menurutnya, setakat ini, terdapat 24 PBB SWART iaitu masing-masing 12 di Terengganu dan Kelantan yang bertanggungjawab membuat rondaan dan pemantauan.

Beliau berkata pasukan yang ditubuhkan sejak November tahun lepas itu juga bertanggungjawab memberi amaran awal jika lokasi tertentu dikenal pasti sebagai zon merbahaya.

Sementara itu Abdul Wahab berkata, pihaknya juga  telah menyenaraikan 17 lokasi ‘hotspot’  berisiko membabitkan kawasan pantai, air terjun, tasik dan lombong.

Sehubungan itu, orang ramai diminta berwaspada dan peka dengan keadaan persekitaran ketika beriadah bagi mengelak kejadian buruk berlaku.