KRUBONG:

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mempertimbangkan kenaikan pangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang lemas selepas tidak sedarkan diri dan dibawa arus ketika membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, di sini semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM,  Datuk Abdul Wahab Mat Yasin menyifatkan kemalangan yang menimpa Allahyarham yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah itu sebagai kehilangan besar memandangkan beliau seorang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang cukup berpengalaman.

Katanya, sekiranya ada ruang beliau tidak menolak untuk mempertimbangkan kenaikan pangkat seterusnya seperti mana yang telah diberikan kepada anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.


“Allahyarham merupakan ahli PPDA sejak 2006 lagi dan semestinya mmpunyai pengalaman asas yang cukup luas. Itu (kenaikan pangkat) kita akan pertimbangkan dan beliau sebenarnya baru mendapat KUP 22 yang mana baru sahaja dinaikkan pangkat.

“Jadi kita akan bawa ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangkan dan jika ada ruang, InsyaAllah kita akan buat sebagaimana pada Allahyarham Muhammad Adib sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir  kepada Allahyarham Mohd Diya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain.

Mengulas lanjut katnya, pihaknya juga akan menubuhkan pasukan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian berkenaan.

“Jabatan akan menubuhkan pasukan siasatan dalaman untuk melihat setiap sudut, sekiranya ada apa apa kekurangan akan ditambah baik, supaya perkara seumpama ini tidak akan berulang.

“Selepas ini kita akan menyampaikan pendahuluan bantuan awal sebanyak RM3,000 dan juga sumbangan warga bomba serta pelbagai lagi termasuk Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan (TAPPN). Jadi anggarannya lebih kurang RM350,000 dan bolehlah membantu sedikit kehidupan keluarga,” tambahnya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, Mohd Diya dipercayai lemas ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Jenazah Allahyarham kemudian selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Krubong kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.