SELANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) memperuntukkan geran bantuan kewangan sebanyak RM2.593 juta, bagi memperkasakan dan menambah keahlian Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohamad.

Bercakap kepada pemberita pada Program Santai Ketua Pengarah Bersama PBS Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tanjung Sepat, di sini, hari ini, beliau berkata terdapat 367 PBS di seluruh negara dengan lebih 8,000 keanggotaan, setakat Disember lepas.

Nor Hisham berkata daripada keseluruhan jumlah tersebut, RM1,101,000 diperuntukkan bagi setiap PBS, RM567,500 untuk pembekalan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) dan RM375,000 bagi insentif peruntukan pembelian Pos Kawalan Bomba untuk PBS di seluruh negara.

"Ia juga termasuk perlindungan insurans kelompok secara percuma sepanjang tahun yang melibatkan kecederaan, kemalangan atau kematian kepada anggota PBS melibatkan jumlah sebanyak RM550,000.

"Peruntukan ini antara strategi yang akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran pemerkasaan tahun ini," katanya yang turut menyasarkan sebanyak tujuh lagi pasukan PBS ditubuhkan pada tahun ini.

Bagi memperkasakan pasukan berkenaan, beliau berkata penyusunan program pengagihan jentera Volunteer Fire Response Vehicle (VFRV) secara berperingkat, kepada PBS mengikut keutamaan juga sedang diadakan selain pelaksanaan tanda aras pengurusan PBS yang terbaik tahunan.

-- BERNAMA