SEPANG: Permohonan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk penambahan 12 ekor anjing pengesan (K9) bagi membantu memperkukuhkan lagi jabatan itu telah diluluskan kerajaan, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Beliau berkata ia sekali gus dapat membantu pihaknya dalam pelbagai operasi termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"JBPM sejak kebelakangan ini banyak terlibat dengan operasi SAR, macam tahun lepas (terlibat dengan kejadian) tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang memakan masa selama sembilan hari dan diteruskan dengan operasi di Turkiye kali ini.

"Berdasarkan maklumat jabatan, ada anjing pengesan yang kita perlu buat penggantian dan penambahan. Permohonan telah dibuat sebelum tragedi Batang Kali lagi dan insya-Allah, tahun ini kita akan tambah 12 ekor lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan anggota JBPM dan anggota pasukan penyelamat lain dari kumpulan kedua pasukan SAR Malaysia yang terlibat dalam operasi di Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

JBPM ketika ini mempunyai 36 ekor anjing pengesan termasuk Denti dan Frankie yang terlibat dalam operasi di Turkiye.

Abdul Wahab, yang melahirkan rasa bangga dengan kesemua anggota misi, berkata pasukan SAR negara telah melakar sejarah kerana berjaya mengharungi operasi dalam cuaca ekstrem yang mencecah hingga negatif 12 darjah Celcius.

"Saya bagi pihak JBPM amat berbangga dengan kejayaan misi negara dengan penglibatan anggota bomba dan lain-lain agensi seperti SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia).

"Misi ini amat berjaya iaitu kita berjaya menjumpai lima orang mangsa yang masih hidup dan 47 mangsa yang terkorban yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan," katanya dan menambah pihaknya merancang untuk memberi pingat kebesaran JBPM kepada anggotanya yang terlibat sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Pada 6 Feb lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria dan setakat Selasa lepas, dilaporkan angka kematian mencecah lebih 47,000 orang.

Malaysia telah menghantar pasukan pertama iaitu SMART ke Turkiye bagi membantu misi SAR dan pasukan kedua yang terdiri daripada SMART dan JBPM dikerahkan pada 8 Feb lepas.

-- BERNAMA