Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

JBPM tampil tarikan baharu, kekal tradisi ‘Abang Sado’ pada perarakan Hari Kebangsaan

Bernama 13/08/2025 | 04:00 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat akan membawakan kenderaan komunikasi bergerak baharu dan mengekalkan tradisi 'Abang Sado' serta penampilan khas pelakon dan krew filem Bomba The Movie pada perarakan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini. - Gambar fail Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan membawakan kenderaan komunikasi bergerak baharu dan mengekalkan tradisi 'Abang Sado' serta penampilan khas pelakon dan krew filem Bomba The Movie pada perarakan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, aset berteknologi tinggi itu akan dipamerkan kepada umum buat pertama kali pada acara sambutan yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya.

"Kenderaan ini berfungsi seperti pejabat bergerak di kawasan bencana, lengkap dengan kemudahan untuk menghubungkan pusat kawalan, lapangan dan pusat gerakan operasi.

"Pada masa ini, ia sedang dalam pembinaan akhir tapi saya akan berusaha untuk memastikan kenderaan ini masuk dalam perbarisan di Putrajaya," katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Nor Hisham berkata, kemunculan 'Abang Bomba Sado' yang sering menjadi tumpuan saban tahun dikekalkan sebagai sebahagian daripada tradisi JBPM dengan pendekatan lebih mesra rakyat melalui edaran barangan istimewa kepada pengunjung bagi memeriahkan sambutan.

"Abang Sado ini sudah jadi 'trademark' kita...kalau tiada, rasa macam kurang meriah. Tahun lepas kita edarkan gula-gula, kali ini ada kelainan sedikit yang lebih menarik," katanya sambil menambah 'sado' itu merujuk kepada lelaki yang berbadan sasa, berotot dan kelihatan kuat.

Beliau berkata, atlet bina badan yang meraih pingat emas pada Kejohanan 'World Police and Fire Games Birmingham 2025' di Alabama, Amerika Syarikat, akan turut menjadi seorang daripada 'Abang Sado' di perbarisan itu nanti.

Nor Hisham berkata, penglibatan barisan pelakon dan kru filem 'Legasi: Bomba The Movie', termasuk pelakon utamanya Nas-T turut dijangka menjadi antara daya tarikan utama tahun ini.

Filem berkenaan yang dihasilkan dengan kerjasama JBPM bertujuan menonjolkan semangat serta pengorbanan anggota bomba dalam menangani pelbagai cabaran keselamatan dan bencana.

Beliau berkata, tayangan perdana filem itu dijangka pada 18 Ogos ini, diikuti tayangan amal pada 19 Ogos dan tayangan umum bermula 21 Ogos di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, perarakan turut melibatkan 250 anggota lain-lain pangkat, 60 ahli pancaragam JBPM, dan 23 aset pelbagai jenis.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos, manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung pada 16 Sept di Pulau Pinang dengan tema 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.'

Maklumat mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta acara berkaitan boleh didapati melalui portal rasmi www.merdeka360.my atau platform media sosial Merdeka360 di Facebook, Instagram dan X.

-- BERNAMA



#abang sado #Perarakan Hari Kebangsaan #bomba #Bomba The Movie