MALAYSIA

JBPM terima 3565 kes kebakaran terbuka bagi tempoh 1 hingga 30 Januari

Bernama 30/01/2026 | 14:30 MYT
Nor Hisham berkata pembakaran terbuka bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi juga mendatangkan kerugian kepada harta benda. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Sebanyak 3,565 kes kebakaran terbuka diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.


Ringkasan AI
  • 3,565 kes kebakaran terbuka dilaporkan oleh JBPM sepanjang tahun ini, dengan 74.6% melibatkan kebakaran kawasan belukar.
  • Ketua Pengarah JBPM menekankan bahaya pembakaran terbuka kepada nyawa dan harta benda serta perlu kerjasama orang awam untuk melaporkan aktiviti tersebut.
  • JBPM mencatat peningkatan prestasi tahun lepas dengan mencapai 67.5% masa tindak balas di bawah 10 minit dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas bagi keselamatan kebakaran.


Beliau berkata daripada jumlah itu, 2,660 kes atau 74.6 peratus melibatkan kebakaran kawasan belukar, manakala selebihnya kebakaran di kawasan pembakaran sampah, hutan, kebun kecil, sawah, ladang dan tapak pembinaan.

"Ini merupakan satu lonjakan yang begitu besar berbanding yang direkodkan (tempoh sama) pada tahun lepas.

"Jadi saya nak pesan kepada orang awam supaya jangan lakukan pembakaran terbuka dan jika ada nampak pihak yang membuat pembakaran di kawasan terbuka, laporkan pada kami," katanya kepada media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 JBPM di sini hari ini.

Nor Hisham berkata pembakaran terbuka bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi juga mendatangkan kerugian kepada harta benda.

"Ada kes yang berlaku di Johor, individu ini hendak membakar belukar di kawasan tepi kedai tapi apa yang berlaku api yang marak telah menyambar 18 kereta yang diletak di kawasan berdekatan.

"Niat dia mungkin nak bersihkan kawasan tapi mendatangkan kerugian kepada pihak lain," katanya.

Sementara itu, semasa berucap Nor Hisham berkata sepanjang tahun lepas menyaksikan JBPM mencapai sasaran 67.5 peratus masa tindak balas di bawah 10 minit dengan pengurangan tempoh masa res National Average Response Time (NART) kepada lapan minit 45 saat berbanding lapan minit 48 saat pada 2024.

"Sasaran awal kita ialah 63 peratus tetapi telah meningkat kepada 67.5 peratus. Maksudnya, kita kini berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 70 peratus bagi masa tindak balas di bawah 10 minit menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2026-2030," katanya.

Dari aspek penguatkuasaan undang-undang pula, Nor Hisham berkata sebanyak 21,429 pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) dibuat sepanjang tahun lepas, iaitu hampir 19 peratus atau 3,429 pemeriksaan, melebihi sasaran 18,000 pemeriksaan yang ditetapkan.

Beliau berkata bagi tempoh tiga tahun lepas, 58,628 pemeriksaan dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan 32,445 notis telah dikeluarkan bagi memastikan setiap aspek keselamatan kebakaran sentiasa dipatuhi.

"Kelulusan Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 juga telah memperkukuhkan lagi kerangka perundangan kebombaan dan penyelamatan.

"Salah satu elemen penting yang dilaksanakan adalah penguatkuasaan bersifat punitif dengan pewujudan Seksyen 36 (3) (subseksyen baharu) bagi pendaftaran kelengkapan menentang kebakaran, iaitu kesalahan di bawah subseksyen (2) boleh disabitkan denda sehingga RM500,000," katanya.

Beliau berkata pindaan juga telah dibuat kepada Seksyen 59 dengan nilai kompaun telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi kesalahan yang boleh dikompaun.

"Jabatan juga turut mempertimbangkan perluasan jenis kesalahan yang boleh dikompaun, khususnya kesalahan berisiko tinggi kepada nyawa dan harta benda bagi memberi isyarat jelas bahawa jabatan tidak akan berkompromi dalam pelanggaran undang-undang melibatkan pematuhan keselamatan kebakaran," katanya.

Pada majlis itu, Nor Hisham turut melancarkan Pelan Strategik JBPM 2026-2030, yang mengandungi empat teras, 39 strategi, 78 pelan tindakan dan 162 inisiatif program yang akan diberikan tumpuan sepenuhnya oleh JBPM dalam memastikan pelan itu praktikal, kekal relevan dan sentiasa ada ruang penambahbaikan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


#JBPM #kawasan belukar #pembakaran terbuka #kebun kecil