MALAYSIA

JBPM tubuh 29 Pasukan Gerak Cepat sebagai persediaan MTL 2025/2026

Bernama 30/10/2025 | 09:14 MYT
Nor Hisham ketika ditemui media pada Sesi Libat Urus Bersama Pengamal Media: Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 di Markas SMART Pulau Meranti hari ini. - fotoBERNAMA
PUCHONG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menubuhkan 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) bagi mempercepat tindak balas terhadap banjir dan bencana lain semasa Monsun Timur Laut 2025/2026, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohamad.

Beliau berkata pasukan khas itu berfungsi secara berasingan daripada operasi balai bomba biasa bagi membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan insiden banjir tanpa menjejaskan operasi harian seperti kebakaran dan penyelamatan lain.

"Pasukan Gerak Cepat ini sentiasa bersiap siaga untuk bertindak balas terhadap panggilan kecemasan banjir, sama ada di dalam negeri atau antara negeri. Setiap PGC terdiri daripada 18 anggota bagi memastikan tindakan pantas tanpa menjejaskan norma operasi di balai sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2025/2026 di sini hari ini.

Sesi berkenaan turut dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Negara dijangka mengalami Monsun Timur Laut bermula 6 Nov hingga 26 Mac 2026, dengan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Nor Hisham berkata JBPM turut mengagihkan 150 bot komuniti ke seluruh negara sebagai persediaan menghadapi musim monsun, bagi membolehkan kerja pemindahan awal mangsa banjir dilaksanakan oleh komuniti setempat.

"Antara kawasan yang menerima bot komuniti ialah Kuala Lipis (Pahang), Kuala Langat, Dengkil dan Kuala Selangor. Minggu lalu, kami turut mengadakan latihan bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sendiri memandu bot tersebut memandangkan kawasan Dewan Undangan Negeri Jelai merupakan kawasan yang kerap dilanda banjir," katanya.

-- BERNAMA



#JBPM #mangsa banjir #mati lemas #monsun timur laut