SUBANG JAYA: Orang ramai diseru agar merebut peluang bagi mendapatkan lebih 100 pakej pelancongan menarik dalam negara menerusi anjuran Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023.

Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di pusat beli-belah Sunway Pyramid di kawasan Blue Atrium.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, pengunjung juga bakal menikmati potongan diskaun pakej pelancongan bermula dari 15 hingga 50 peratus bagi destinasi tertentu.

“Perancangan percutian kadang-kadang kita buat di saat akhir, jadi sekarang sudah hampir hujung tahun dan ada lagi yang belum merancang destinasi untuk melancong. Jadi kita (Tourism Malaysia) bantu wujudkan pakej-pakej yang baik dan diskaun yang terbaik supaya mereka boleh mula merancang lokasi percutian mereka.

“Tourism Malaysia menerusi JCCM 2023 kali ini tawarkan pakej-pakej antara 15 hingga 50 peratus diskaun dan tawaran ini tidak boleh didapati di tempat lain termasuklah pembelian secara dalam talian. Jadi datanglah ke pusat beli-belah ini (Sunway Pyramid) untuk beli pakej yang kami sediakan,” katanya.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Beliau berkata demikian selepas hadir melancarkan Jerayawara JCCM 2023 di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, siri jelajah yang diadakan sebelum ini juga telah berjaya meraih kutipan jualan sebanyak RM4.5 juta dan angka ini dijangka terus meningkat pada siri yang seterusnya.

Selain itu, Tourism Malaysia terus komited tentang persiapan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran kemasukan 26.1 juta pelancong asing yang secara tidak langsung bakal merancakkan lagi ekonomi negara dan industri pelancongan khususnya.

Pelbagai pilihan destinasi pelancongan disediakan dengan tawaran pakej yang menarik.

JCCM 2023 bakal tertumpu kepada pakej-pakej beberapa destinasi pelancongan yang menarik di dalam negara yang boleh didapati dengan harga yang sangat berbaloi.

Siri jelajah yang seterusnya di Aeon Mall Bandaraya Melaka mulai 10 hingga 12 November akan menjadi lokasi penutup menandakan program ini melabuhkan tirai secara rasmi.

Usaha memperkasakan lagi pertumbuhan ekonomi dibuat menerusi kerjasama dengan beberapa pusat beli-belah bagi menggalakkan orang ramai berbebelanja dengan harga yang berpatutan.

Antara pakej-pakej pelancongan yang disasarkan bakal menarik minat pengunjung ialah Pakej Jelajah Kota Kinabalu dan Kundasang, pakej glamping, pakej berbulan madu, pakej percutian ke Pulau Rawa, Redang dan Tioman, pakej selam skuba, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Minat Khas sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tourism Malaysia serta Pakej Pelancongan Arkeo dan Geopark Lembah Lenggong.

Selain pameran dan jualan pakej pelancongan, pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan, pertunjukan roti canai terbang serta cabutan bertuah.