KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat insiden yang melanda pemain bola sepak negara iaitu Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.

Terbaharu pemain tengah JDT, Safiq menjadi mangsa serangan selepas cermin keretanya dipecahkan menggunakan tukul besi oleh dua individu ketika berada berdekatan pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, melalui satu kenyataan rasmi berkata pihaknya akan meningkatkan lagi tahap keselamatan para pemain sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) risau dengan insiden yang melibatkan Safiq Rahim di mana kereta beliau telah diserang berhampiran Pusat Latihan JDT malam tadi.

"Insiden itu, bersama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak. Disebabkan kes-kes terkini, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami juga telah menasihatkan para pemain kami untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka pada media sosial pada setiap masa." katanya. - Stadium Astro