KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dipilih sebagai antara kelompok dalam senarai Wira Dermawan Asia oleh Forbes Asia untuk kali keempat.

Senarai tersebut menghargai kalangan individu yang terbukti telah memaparkan komitmen peribadi dalam memperjuangkan pelbagai usaha sosial.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sunway Group berkata Cheah merupakan dermawan kedua di Asia yang tersenarai sebanyak empat kali selepas 2019, 2015 dan 2009 serta menjadi satu-satunya rakyat Malaysia dalam senarai tahun ini.

Menurut kumpulan itu, Cheah diiktiraf di atas komitmennya terhadap pendidikan selain usaha beliau mewujudkan dana pembiayaan bernilai lebih RM1 bilion bagi memastikan Sunway Education Group meneruskan kelangsungan secara sendiri serta menawarkan lebih banyak biasiswa kepada penuntut yang layak daripada golongan berpendapatan rendah.

Sunway Group yang juga konglomerat hartanah terkemuka berkata walaupun sebahagian besar daripada tabung itu adalah daripada sumber dana peribadi Cheah, beliau turut bekerjasama dengan kerajaan membabitkan pindaan peraturan sedia ada yang mensyaratkan sesebuah yayasan mengagihkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada dana tahunan diterima pada tahun berikutnya.

"Inisiatif ini adalah tambahan kepada komitmen Cheah sebelum ini iaitu untuk menghadiahkan kesemua kepentingan peribadinya dalam Sunway Education Group yang bernilai beberapa bilion ringgit kepada Yayasan Jeffrey Cheah iaitu perusahaan sosial menumpukan pendidikan yang terbesar di Malaysia," katanya.

Pada kali ini, senarai tahunan oleh majalah kewangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyenaraikan kelompok 15 dermawan terkemuka di serata Asia seperti Pengasas Bersama Alibaba Joseph Tsai, Pengasas Vingroup dan orang terkaya Vietnam Pham Nhat Vuong serta jutawan berstatus 'bilionaire' India Anil Agarwal.

Rakyat Malaysia yang pernah tersenarai termasuk ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary daripada kumpulan Al-Bukhary, Pengerusi Eksekutif YTL Group Tan Sri Francis Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Group Tan Sri Tony Fernandes.

-- BERNAMA