NATIONAL
Jejak Al-Haramain: Bekas pesakit kanser syukur jadi tetamu Allah
Tiga beradik, Atikah, Aminuddin (tengah) dan Ahmad Muzakkir (kanan) bersyukur kerana pendaftaran haji yang dilakukan sejak 1995 oleh bapa mereka, Hassan Wahid, akhirnya diterima pada tahun ini. - Foto Astro AWANI
MAKKAH: Wajahnya sahaja sudah berbeza dengan jemaah haji lain.
Insan ini berjiwa kental dan tutur katanya menggambarkan pemikiran positif.
Jejak Al-Haramain membawa kisah Aminuddin Hassan, bekas pesakit kanser yang menjadi Dhuyufurrahman pada musim haji kali ini 1446H/2025M.
Berusia 36 tahun, Aminuddin berasal dari Manir, Terengganu.
Diuji dengan penyakit kanser mata ketika berusia dua tahun, Aminuddin bersyukur berpeluang menjadi tetamu Allah.
“Walaupun cacat fizikal, saya terima dengan reda ketetapan Allah sebab kita percaya kita ini bershahadah,” katanya.
Mengimbas pengalamannya dikesan menghidap kanser mata pada 1992, Aminuddin berkata, dia reda dengan ujian itu.
“Doktor klinik tutup mata saya sebelah kanan, saya senyum; apabila tutup mata belah kiri, saya senyap.
“Selepas tiga kali (prosedur di klinik), ayah bawa saya ke hospital. Tiada masalah apa-apa. Tak tahu apa punca. Sebab, masa itu di Terengganu, pakar kanser mata tiada lagi,” katanya.
Aminuddin kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami kanser mata serta akhirnya menjalani pembedahan.
Semua milik Allah, pasti ada hikmah di sebaliknya.
Beliau yang kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Terengganu, mengerjakan ibadat haji rukun Islam kelima di Tanah Suci, diiringi kakaknya, Atikah dan adiknya, Ahmad Muzakkir,
Sambil menitiskan air mata, Atikah berkata, ia merupakan tanggungjawabnya selepas ibu mereka meninggal dunia.
Ketiga-tiga beradik ini bersyukur kerana pendaftaran haji dilakukan sejak 1995 oleh bapa mereka Hassan Wahid, akhirnya diterima pada tahun ini.
Semoga mereka beroleh haji mabrur.