NATIONAL
Jejak Al-Haramain: Jemaah haji beribadat jadi sukarelawan

Mohd Hisham (kiri) memakaikan 'vest' kepada seorang jemaah yang juga sukarelawan haji dikenali sebagai Sahabat Maktab. - Gambar Astro AWANI
MEKAH: Jemaah Malaysia boleh membantu operasi haji, seperti menjadi sukarelawan menyumbang tenaga ketika operasi di masyair.
Justeru jemaah tidak terhad kepada solat, iktikaf, tawaf dan umrah semata-mata.
Program yang dinamakan Sahabat Maktab, diperkenalkan sejak 2006.
Saban tahun ia menjadi idaman jemaah untuk menabur bakti kepada sahabat yang memerlukan bantuan.Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, ini salah satu ibadah jemaah menjadi sukarelawan untuk membantu sahabat lain.
Seramai 385 jemaah akan dilantik mewakili 11 maktab.
Katanya, antara tugas Sahabat Maktab adalah membantu jemaah yang berkerusi roda, pembersihan khemah dan memastikan tiada jemaah yang hilang ketika masyair.
Sukarelawan ini akan diklasifikasikan dalam tiga kategori iaitu ibadat, perubatan dan sahabat hujjaj.
Salah seorang Sahabat Maktab, Lt Kol Jamal Safri berkata, mungkin petugas haji tidak mencukupi berbanding jumlah jemaah haji dan beliau membantu seorang wanita yang perlu berkerusi roda ketika di Madinah.
“Pada masa saya datang ke Madinah pada 11 Mei lalu, ada sorang makcik dari Johor, masa itu dia tidak menghadapi masalah, tiba-tiba ketika ziarah ke raudah, kaki dia saki dan kena berkerusi roda.
“Sejak itu saya terpanggil untuk membantu jemaah lain yang kurang bernasib baik,” katanya.
Beliau dari Cheras, Kuala Lumpur akan bertugas di Maktab 83A bersama isterinya, Dr Salimah Othman.
Manakala isterinya, berlatar belakang doktor perubatran akan dikategorikan Sahabat Medik dan memfokus ketika wukuf Arafah.
“Saya akan membantu, terutama warga emas dan pesakit kronik, sekurang-kurangnya sebelum kita berwukuf di Arafah.
“Saya akan berusaha untuk menyusun ubat mereka bawa secukupnya untuk enam hari. Walaupun kita beribadat, kesihatan perlu sihat dan risiko yang banyak semasa masyair nanti,” katanya
Antara kriteria pemilihan Sahabat Maktab adalah sihat tubuh badan, muda dan mempunyai semangat kesuka-relawanan tinggi.
Seramai 57 orang dilantik daripada Abraj Al-Tayseer dan pelantikan seterusnya akan dilakukan secara berperingkat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami