[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Jejak Al-Haramain: Jemaah haji tumpu ibadat, jangan sibuk buat 'content'

Azizul Azwa 28/04/2025 | 08:01 MYT
Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin, mendapati ada segelintir jemaah yang didapati sibuk merakam video atau berswafoto. - Foto Astro AWANI
MADINAH: "Jemaah haji jangan jadi wartawan."

Ringkasan AI
  • Jemaah diingatkan untuk memanfaatkan peluang beribadah di tempat mustajab seperti Raudah dengan solat dua rakaat dan berdoa, tanpa gangguan penggunaan telefon.
  • Jemaah diminta menjaga adab, menghindari sikap bertolak-tolak, dan mematuhi jadual ziarah yang diuruskan oleh Tabung Haji.
  • Sepanjang di Madinah, jemaah akan menyertai lawatan ke Masjid Nabawi, Masjid Quba, perkuburan Al-Baqi, Bukit Uhud, dan lokasi lain untuk mendalami sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat.

Itu nasihat Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin, selepas mendapati ada segelintir jemaah yang didapati sibuk merakam video atau berswafoto, akibat terikut-ikut trend di media sosial.
Jemaah haji, tegasnya wajar mengambil kesempatan untuk banyak beribadah, terutama di tempat mustajab seperti Raudah di Masjid Nabawi. Sikap merakam video dan bergambar untuk dimuat naik ke media sosial sehingga menjejaskan kualiti ibadah sangat merugikan.
Menurut Zahir lagi, peluang yang terbentang bukan berlaku setiap tahun kerana tuntutan masa, mental, fizikal dan kewangan dari setiap jemaah.
“Ini dia masuk dalam Raudah tu dia lebih lagi pada wartawan, mengalahkan wartawan. Ambil video, lepas tu bila orang suruh keluar baru dia kelam kabut jadi saya rasa handphone itu terbaik bila masuk dalam Masjid Nabawi kita simpanlah.
“Ambillah peluang apabila kita diberi peluang masuk dalam Raudah itu mengambil peluang sebagaimana yang saya sebutkan tadi sekurang-kurangnya dua rakaat solat hajat atau dua rakaat solat tahiyatul masjid dan doa kita titipkanlah ketika mana kita berada di Raudah,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi mewajibkan, setiap jemaah haji yang ingin memasuki Raudah atau taman syurga, mendaftar di aplikasi nuzuk.
Jika lulus, mereka diberikan tempoh kira-kira 10 hingga 15 minit iaitu sekadar melakukan solat dua rakaat dan berdoa.
Kerajaan Arab Saudi mewajibkan, setiap jemaah haji yang ingin memasuki Raudah atau taman syurga, mendaftar di aplikasi nuzuk. - Foto Astro AWANI
Jadual mengunjungi raudah diuruskan oleh Tabung Haji dan jemaah diingatkan sentiasa peka terhadap waktu ditetapkan.
“Kita jagalah tutur kata kita, jadi sudah tentu janganlah kita bertolak-tolak ketika diberi peluang, kita lihat itu bila masuk dalam raudah tu masing-masing berlari-lari, berlari tu okay lagi tapi jangan menolak orang lain, pastikan jemaah haji Malaysia menjaga adab,” tambahnya.
Sepanjang di Madinah, jemaah akan menyertai program ziarah dalam dan ziarah luar yang merangkumi lawatan ke Masjid Nabawi, Masjid Quba serta perkuburan Al-Baqi, Bukit Uhud dan lain-lain.
Program ini adalah bagi melengkapkan perjalanan spiritual dan mendalami sirah perjuangan Rasullullah dan para sahabat yang memberkati bumi Madinah.
Jemaah Haji Malaysia musim 1446 Hijrah yang pertama dijangka tiba di Madinah pada jam 7.50 pagi pada Selasa, sebelum bergerak ke Mekah selepas 6 hari.
#jemaah haji #sibuk buat content #fokus kepada ibadah #Tabung Haji #Mohamad Zahir Hussin