NATIONAL
Jejak Al-Haramain: Jemaah tanpa visa haji bakal diusir, didenda dan disenarai hitam

Roslan (foto) berkata, kerajaan Arab Saudi telah memperketatkan peraturan melarang individu menunaikan haji tanpa visa sah. -Astro AWANI
MADINAH: Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai visa haji sah diminta keluar segera dari Mekah bermula hari ini atau berdepan tindakan tegas termasuk ditahan, didenda, diusir, serta disenarai hitam oleh kerajaan Arab Saudi.
Ringkasan AI
- Rakyat Malaysia tanpa visa haji sah diminta keluar dari Mekah segera atau berdepan tindakan tegas termasuk penahanan, denda, pengusiran, dan disenarai hitam oleh kerajaan Arab Saudi.
- Jemaah tanpa visa haji tidak akan mempunyai akses kepada kemudahan asas disediakan untuk jemaah berdaftar seperti perkhidmatan perubatan, makanan, dan penginapan.
- Kedutaan Malaysia di Arab Saudi dan Tabung Haji menyeru rakyat Malaysia menggunakan saluran rasmi untuk pendaftaran dan pelaksanaan haji.
"Bagi individu yang mengerjakan haji tanpa visa akan dikenakan tindakan undang-undang seperti penahanan dan pengusiran, denda setinggi 20,000 riyal serta larangan masuk semula ke Arab Saudi.
“Ini termasuk larangan memasuki Kota Suci Mekah kepada individu menggunakan visa ziarah atau mana-mana kawasan larangan mulai 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijjah.
“Bermula hari ini sudah bermula visa haji. Bagi mereka yang tidak mempunyai visa haji, saya mohon keluar segera dari Mekah,” kata Roslan pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau sempat menyantuni 284 jemaah haji termasuk 31 petugas yang merupakan kumpulan pertama tiba di bumi Madinah pada jam 8.04 pagi menerusi penerbangan KT001 di Hotel Emaar Royal, di sini.
Roslan dalam pada itu berkata, dari sudut keselamatan, jemaah tanpa visa haji tidak akan mempunyai akses kepada kemudahan asas disediakan untuk jemaah berdaftar seperti perkhidmatan perubatan, makanan, penginapan di Arafah dan Mina serta bimbingan ibadah.
“Saya bagi pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi dan Tabung Haji (TH) menyeru semua rakyat Malaysia untuk menggunakan saluran rasmi seperti TH bagi utusan pendaftaran dan pelaksanaan haji,” ujarnya.
Kata Roslan, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan erat sejak bertahun lamanya.
“Justeru saya berharap agar rakyat Malaysia dapat mematuhi peraturan-peraturan yang telah dikuat kuasa oleh Arab Saudi berkaitan haji dan umrah.
“Ini adalah penting untuk menjaga hubungan erat dan nama baik Malaysia di kaca mata Arab Saudi,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami