NATIONAL

Jejak Al-Haramain: TH sedia aplikasi e-Taib, hukum-hakam haji jangan tanya chat GPT

Azizul Azwa 23/05/2025 | 23:10 MYT
Salmah menyarankan jemaah haji agar tidak menggunakan aplikasi chat GPT atau carian google, ini kerana ia melibatkan hukum-hakam dan kita kena pastikan ibadat haji kita diterima dan dapat haji yang mabrur. - Gambar Astro AWANI
MEKAH: Perkembangan teknologi turut memberi kesan kepada musim haji kali ini.

Chat GPT, antara teknologi terbaharu dan dibimbangi mempengaruhi jemaah haji untuk dijadikan rujukan.

Menurut Pembimbing Ibadat di Tanah Suci (PIHTAS), Salmah Sheikh Hassan, chat GPT boleh menimbulkan keraguan dan kesahihan jawapan, sekali gus boleh merosakkan ibadat.

“Jemaah haji diminta tidak menggunakan aplikasi chat GPT atau carian google, ini kerana ia melibatkan hukum-hakam dan kita kena pastikan ibadat haji kita diterima dan dapat haji yang mabrur,” katanya.

Justeru, Tabung Haji (TH), jelas beliau, memperkenalkan aplikasi terbaharu yang dinamakan e-taib, untuk jemaah haji bertanya sebarang soalan berkaitan umrah dan haji, secara live chat.

Katanya, e-Taib ternyata membantu jemaah haji kerana sebarang kemusykilan boleh diajukan secara live chat, iaitu ketika jemaah sedang melakukan ibadat.

Tempoh respons sepantas seminit, bergantung kepada kekuatan data atau Wi-Fi.

Setakat ini, hampir 4,000 soalan diajukan, dan 3,600 soalan dari jemaah haji wanita.

Ketika ini, e-Taib beroperasi 18 jam sehari dan dikendalikan oleh empat petugas dan tiga pakar rujuk.

Tempoh operasi akan ditingkatkan kepada 24 jam ketika musim haji.

Kebanyakan soalan, berkaitan masalah haid dan ihram.

Setakat ini, e-Taib hanya menyediakan dalam Bahasa Melayu.

Apa yang menarik, segala soalan dan jawapan boleh dibaca semula.






#Jejak Al-Haramain #ChatGPT #aplikasi e-Taib #Tabung Haji #Pembimbing Ibadat di Tanah Suci