KUALA LUMPUR: Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, merumuskan analisis jejak wang yang mendedahkan pengeluaran dana diperoleh 1MDB dan syarikat berkaitannya, September 2009 dan Disember 2014 lalu.

Adam Ariff Mohd Roslan yang juga penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), berkata demikian selepas selesai memberikan keterangan mengenai jejak wang Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan ke-47 berusia 29 tahun ini berkata, pengeluaran dana itu dipindahkan melalui sistem perbankan pelbagai bidang kuasa asing.

Beliau merumuskan perkara itu selepas selesai memberikan keterangan mengenai jejak wang syarikat pelaburan strategik negara ini, yang dipindahkan ke dua akaun peribadi Najib.

Berdasarkan kepada laporan itu, beliau berkata, sebahagian daripada dana kemudiannya dipindahkan kembali ke negara ini, dalam dua akaun Bank AmIslamic bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Ia dikenal pasti dalam empat fasa, iaitu fasa Good Star, Aabar-BVI, Tanore dan Options Buyback.

“Mengikut fasa pertama, antara 23 Februari dan 14 Jun 2011, wang RM60.6 juta daripada dana terbabit yang dikreditkan ke akaun AmPrivate Banking - MR Najib menerusi akaun di Bank Riyad, Arab Saudi,” katanya.

Adam Ariff berkata, pindahan itu boleh dikesan daripada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pada 2009 dan Pinjaman Bertempoh Bersindiket pada 2010.

Berdasarkan fasa kedua, beliau berkata, RM90.9 juta dikreditkan ke akaun Najib daripada akaun Standard Charterd Bank, Singapura antara 30 Oktober dan 20 November 2012.

Menurutnya, ia dipegang atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners dan boleh dikesan daripada bon yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) pada tahun 2012.

Menerusi fasa ketiga, RM2.08 bilion daripada hasil yang dikreditkan ke akaun bekas pemimpin UMNO itu daripada akaun Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp (syarikat pelaburan) antara 21 Mac dan 10 April 2013.

Perkara itu katanya, boleh dikesan daripada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investment Limited (1GIL) pada 2013.

Fasa keempat katanta, pada 23 Jun 2014, RM4.09 juta daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun tertuduh daripada akaun DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited.

Beliau berkata, perkara itu didapati boleh dikesan daripada pinjaman AS$250 juta oleh 1MDB Energy Holdings Ltd (1MEHL) 1MEHL pada 2014.

Saksi ini berkata, antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014, sebanyak RM45.9 juta daripada hasil yang dikreditkan ke akaun Najib daripada akaun di Amicorp Bank Barbados yang atas nama Vista Equity International Partners Limited.

“Ia didapati sebahagiannya boleh dikesan daripada hasil pinjaman AS$975 juta oleh 1MEHL pada 2014,” katanya.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Selasa. - Sinar Harian