KUALA LUMPUR: Pembinaan jejantas pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan secara terus Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak dengan Stesen LRT Gombak dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2027, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
MRL dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, integrasi pengangkutan awam dan kemudahan akses pejalan kaki di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak (TBG) sememangnya telah diambil kira sejak awal perancangan projek rel berkenaan.
"Bagi memastikan kesalinghubungan antara kemudahan pengangkutan awam tersebut, sebuah jejantas pejalan kaki berbumbung sedang dilaksanakan untuk menghubungkan Stesen ECRL Gombak secara terus dengan Stesen LRT Gombak.
“Perancangan ini turut merangkumi sambungan jejantas ke TBG,” menurut kenyataan itu.
Sementara menunggu jejantas kekal itu siap sepenuhnya, MRL akan menyediakan laluan pejalan kaki sementara menerusi fasiliti Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi membolehkan pergerakan penumpang sebaik sahaja perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Disember 2026.
Menurut kenyataan itu, penyediaan laluan sementara berkenaan akan mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan dan kemudahan pergerakan penumpang, termasuk mereka yang membawa bagasi.
"Selain itu, MRL sedang mengadakan perbincangan bersama dengan Prasarana mengenai cadangan penyediaan perkhidmatan shuttle antara kedua-dua stesen sebagai kemudahan tambahan, khususnya untuk penumpang yang membawa bagasi," menurut MRL.
MRL memaklumkan, kemudahan akses pejalan kaki itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan Stesen ECRL Gombak berfungsi sebagai hab pengangkutan awam yang berintegrasi dengan rangkaian rel dan pengangkutan sedia ada.
Syarikat itu turut memberikan jaminan bahawa kemudahan akses sementara sedang diuruskan bagi memenuhi keperluan pergerakan penumpang semasa pembukaan perkhidmatan ECRL, sementara kemudahan jejantas kekal disiapkan secara berperingkat.
"MRL menghargai perhatian, pandangan dan maklum balas orang ramai serta akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan kemudahan yang disediakan selamat, praktikal dan mesra pengguna," katanya.
-- BERNAMA