REMBAU: Jelajah Ikon Madani (IKON) merupakan program bual bicara yang bakal melatih graduan agar lebih bersedia memasuki alam pekerjaan selain memiliki mentaliti kelas pertama kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, program tersebut merupakan satu aspirasi yang perlu diterapkan kepada pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi selain platform untuk mengembangkan serta menukar idea dan pengalaman antara ikon-ikon jemputan.

“J-KOM dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) menyediakan platform kepada komuniti pelajar dan masyarakat setempat untuk berdialog secara langsung tentang isu-isu semasa bagi komunikasi dua hala, yang akan memberi impak luar biasa kepada mereka.

“IKON juga akan memanfaatkan kumpulan sasar dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar asnaf dan juga komuniti setempat sekali gus memanfaatkan golongan-golongan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lebih 1,000 pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej vokasional tempatan hadir bagi memeriahkan Program Jelajah Ikon Madani di Dewan Biduanda, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan merupakan dianjurkan J-KOM dan PRIHATIN

Menampilkan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi selaku Ikon Madani dan juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Ghazali.

Selain Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil, tokoh lain yang akan ditampilkan termasuk pakar kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; tokoh pendidikan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi Malaysia Airlines Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei; serta penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Program tersebut turut menyantuni para pelajar dengan sesi penyerahan sumbangan bantuan tunai dan keperluan asas, serta pemberian cermin mata percuma kepada peserta program.

Jelas Dr Agus, program berkenaan juga akan dilaksanakan secara bersiri serta akan menjelajah ke universiti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta ke Sabah dan juga Sarawak.