MALAYSIA

Jelajah kemanusiaan Rizalman sentuh jiwa, beri harapan dan melunas amanah

Saharudin Musthafa 06/02/2026 | 01:30 MYT
Rizalman Ibrahim (kiri) memangku bayi berusia setahun yang dirawat di wad kanak-kanak Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, pada Khamis. Hadir sama Faizul Surani (tengah). - Gambar Astro AWANI
SEBERANG JAYA: Ada perjalanan yang sekadar singgah, dan ada perjalanan yang membuka mata hingga mengubah cara kita melihat kehidupan.

Bagi personaliti ternama, usahawan dan aktivis kemanusiaan, Datuk Rizalman Ibrahim, kunjungan ke wad kanak-kanak Hospital Seberang Jaya tahun ini menjadi satu ziarah yang lebih dalam maknanya - satu peringatan lembut tentang rapuhnya nikmat kesihatan yang sering terlepas daripada syukur kita.

Memasuki tahun keenam program jelajah kemanusiaan anjuran Yayasan Rizalman Ibrahim (YRI), misi RIlief 2026 memilih fokus yang paling halus menyentuh jiwa: menyantuni anak-anak kecil yang sedang bertarung dengan kesakitan.

Di ruang hospital yang memutihkan segala warna hidup, pengasas dan pemegang amanah YRI, Rizalman mengakui hatinya berkaca selain terbit keinsafan dalam diri mereka anak-anak kecil sedang melawan kesakitan.

“Melihat kesakitan yang ditanggung anak-anak ini… ia membuatkan saya bermuhasabah. Kesihatan ini sebenarnya nikmat terbesar,” katanya dalam nada perlahan, seolah-olah masih bergema dengan pilu yang baru disaksikannya.

Rizalman Ibrahim menyantuni dua kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya sempena jelajah kemanusiaan Yayasan Rizalman Ibrahim.


Dalam masa sama, beliau kembali mengingatkan diri sendiri mengenai tuntutan agama bahawa menziarahi orang sakit ibarat berada dalam “kebun syurga”, setiap langkah dilimpahi ganjaran dan rahmat.

Bagi Rizalman, kesihatan bukan sekadar mampu bangun, bekerja dan menjalani rutin kehidupan.

“Kalau sihat, hidup kita tenang. Kalau sakit, seluruh dunia terasa sempit,” luah beliau kepada Astro AWANI.

Kunjungannya kali ini seolah mengajak seluruh rakyat untuk menghargai tubuh yang masih mampu bergerak, masih mampu senyum, masih mampu memeluk orang tersayang - kerana ada anak-anak yang sedang menunggu sihat bagaikan menunggu pagi yang tak pasti.

Bagi waris pesakit pula, pertemuan ini membuka ruang untuk mereka bersuara tentang pentingnya kesihatan anak-anak, dan bagaimana ujian sebegini mengubah seluruh dunia keluarga kecil mereka.

Dalam ziarah itu, Yayasan RI menghulurkan sumbangan wang tunai kepada kanak-kanak yang sedang dirawat,

Tidak ketinggalan yayasan itu turut membiayai pembedahan untuk empat kanak-kanak berpenyakit kritikal sebagai usaha meringankan beban keluarga yang sudah pun letih melawan.

Yayasan RI juga melunaskan amanah penderma dengan mengagihkan sebanyak RM10,000 dalam bentuk peralatan kesihatan kepada Hospital Seberang Jaya.

Bantuan itu diterima oleh Pengarah Hospital Sebra, Dr. Shameni Sunasundram

Yayasan Rizalman Ibrahim turut menyerahkan sumbangan peralatan kesihatan bernilai RM10,000 kepada Hospital Seberang Jaya yang diterima Dr Shameni Sunasundram (tiga dari kanan).


Turut mengiringi lawatan Rizalman ke Hospital Seberang Jaya ialah Pemegang Amanah Yayasan RI, Faizul Surani.

Enam tahun perjalanan RIlief bukan sekadar rekod kerja amal, ia sebaliknya, merupakan kisah manusia yang belajar untuk kembali kepada rasa belas dan empati.

Tahun demi tahun, Yayasan RI membawa bukan sahaja bantuan, tetapi kehadiran, kemanusiaan, dan pengingat bahawa kita semua saling memerlukan.

Dan semalam, di wad kanak-kanak yang dipenuhi suara mesin perubatan, harapan perlahan-lahan dihidupkan semula - melalui senyuman anak-anak kecil, tangan yang menggenggam kekuatan dan doa yang dipanjatkan bersama.

Mungkin, dalam perjalanan ini, Rizalman bukan hanya melawat pesakit - beliau juga sedang membantu masyarakat melawat hati sendiri.







#Rizalman Ibrahim #Yayasan Rizalman Ibrahim #RIlief #Hospital Seberang Jaya