Ford membawakan siri jelajah ‘Keselamatan Masa Depan Bersama Ford’ ke Malaysia untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai aspek keselamatan. Siri jelajah itu akan memberi tip-tip berguna kepada pemandu, serta mempamerkan pelbagai teknologi keselamatan dan bantuan yang mampu membantu mereka ketika berdepan kondisi trafik yang mencabar.
Disasarkan kepada para pemandu dan penumpang kenderaan, siri jelajah ‘Keselamatan Masa Depan Bersama Ford’ telah diadakan di pusat membeli-belah 1 Utama, Petaling Jaya awal Ogos baru-baru ini.
Tip-tip untuk semua jenis pengguna
Siri jelajah tersebut melibatkan taklimat-taklimat keselamatan selama 40 minit yang diadakan pada setiap setengah jam.

Para pengunjung diberitahu tentang tip-tip keselamatan khusus bagi warga emas, ibu mengandung selain bagi ibu-bapa dan pengetahuan mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak. Pengunjung juga boleh mendapat perspektif baharu dengan mencuba sut-sut yang telah direka khas.
Sut-sut tersebut digunakan oleh pasukan jurutera Ford untuk memenuhi keperluan pemandu yang mengalami isu-isu mobiliti spesifik. Ini termasuklah Empathy Belly yang membantu menawarkan simulasi pergerakan terhad yang dihadapi oleh wanita mengandung. Sementara Sut Warga Emas yang dipasang dengan pemberat, pendakap, cermin mata dan palam telinga pula merupakan simulasi kesan usia terhadap deria-deria manusia.
Para pengunjung juga diberitahu mengenai bengkel Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup (DSFL) anjuran Ford secara percuma yang berlangsung selama separuh hari dan diadakan sepanjang tahun ini.
Alami sendiri inovasi-inovasi teknologi keselamatan dan pintar
Turut diketengahkan adalah sistem Ford SYNC 2 yang membolehkan pemandu kekal berhubung, pada masa yang sama kekal fokus di atas jalan raya.
Menerusi simulasi serta multimedia yang interaktif dan menyeronokkan, pengunjung akan belajar bagaimana ciri-ciri dan teknologi canggih dapat membantu pemandu untuk berdepan dengan keadaan trafik yang mencabarseperti Adaptive Cruise Control yang membantu pemandu mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan.

Turut dipamerkan ialah MyKey, teknologi pertama dalam industri itu membolehkan pemiliknya memprogramnkan kunci untuk diri sendiri atau pemandu lebih muda. MyKey berupaya menghadkan kelajuan, mengurangkan volum maksimum sistem audio, mematikan radio sehinggalah tli pinggang keledar dipakai, serta menghalang penyahaktifan teknologi keselamatan dan bantuan pemandu.
Masa depan aspek keselamatan
Satu lagi visi yang ingin direalisasikan Ford adalah komunikasi kenderaan kepada kenderaan (V2V) dan kenderaan dengan infrastruktur (V2I).
“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kita mungkin dapat melihat lebih banyak perkhidmatan yang berasaskan kepada sistem komunikasi dua hala V2V. Sistem ini membolehkan kenderaan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain tentang aspek pemanduan dan kondisi trafik, biarpun ketika kenderaan itu sudah jauh dari pandangan. Dalam jangka masa lebih panjang, kami harap dapat melihat penggunaan sistem V2I yang lebih meluas. V2I membolehkan kenderaan berkomunikasi dengan infrastruktur dan sistem pengurusan trafik,” jelas Pengarah Kejuruteraan Kelestarian, Alam Sekitar dan Keselamatan, Ford Motor Company, Asia Pasifik, Pete Hardigan.