KUCHING: Jelajah Roadpedia Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama media merentasi lebuhraya Pan Borneo Sarawak melakukan perjalanan pertama daripada bandar raya ini hari ini.

Program selama tiga hari itu akan menelusuri lebuh raya sepanjang 786 kilometer (km) itu sehingga ke destinasi akhir di Miri, pada 11 Jun 2022.

Rombongan tersebut disertai Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dua Sarawak Datuk Majang Renggi.

Terdahulu, acara 'flag off' Jelajah Roadpedia KKR yang disertai 10 agensi media itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jelajah tersebut dijadual melalui kesemua 11 perimeter pakej kerja kontraktor (WPC) Lebuhraya Pan Borneo fasa 1 bermula di WPC02 laluan Kuching-Serian sehingga jalan penghubung Sungai Tangap ke Pujut, Miri.

Setakat Mei lalu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang merangkumi 11 pakej kerja dari Telok Melano ke Miri, siap 82 peratus dengan peruntukan sebanyak RM16.117 bilion.

Berdasarkan pengalaman penduduk tempatan, perjalanan daripada Kuching ke Miri sebelum pembinaan lebuh raya akan mengambil masa 10 hingga 12 jam bergantung kepada keadaan jalan dan cuaca.  

Turut serta bersama rombongan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.