Jemaah cedera, imam dua maut dilanggar imam satu

Astro Awani
November 12, 2021 07:36 MYT
Berdasarkan siasatan awal, pemandu telah panik lalu menggerakkan kenderaan ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua orang mangsa yang sedang berada di perkarangan surau. - Sumber foto PDRM
KUALA LUMPUR: Imam dua Surau Al-Hidayah Taman Bukit Kajang di Kajang maut manakala seorang lagi jemaah cedera dilanggar kereta yang dipandu imam satu surau itu pada awal pagi Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, imam satu surau tersebut berusia 76 tahun, yang baru selesai menunaikan solat Subuh mengundurkan kenderaan dari lot parkir perkarangan surau.
Katanya, dia bagaimanapun terlanggar bahagian belakang kenderaan lain akibat hilang kawalan.
“Pemandu panik lalu menggerakkan kenderaan ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang sedang berada di pekarangan surau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat perlanggaran itu, imam dua, Hatim Arshad, 78, yang merupakan seorang pesara guru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Muhammad, 76, patah lutut kanan serta pergelangan kaki kiri dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
Menurut Azman, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Surau Al-Hidayah Taman Bukit Kajang #imam dua maut #hatim arshad #Muhammad