Skip to main content

Malaysia

Jemaah haji diingatkan patuh peraturan, jaga kesihatan hadapi suhu hingga 48 darjah Celsius - Dr Zulkifli

[TB]_Dr Zulkifli Hasan 2_ASTRO AWANI
Para jemaah disarankan supaya berada di dalam khemah dan mengelakkan aktiviti luar yang tidak perlu, khususnya ketika cuaca sangat panas. - Astro AWANI

MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi serta memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan diri, ketika suhu di Tanah Suci dilaporkan boleh mencecah sehingga 48 darjah Celsius menjelang kemuncak ibadah wukuf.

Amaran suhu tinggi itu berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Arab Saudi yang menjangkakan cuaca panas ekstrem sepanjang tempoh kritikal tersebut, sekali gus meningkatkan risiko dehidrasi dan tekanan haba dalam kalangan jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, dalam keadaan cuaca sedemikian, jemaah digalakkan mengurangkan pergerakan luar serta kekal berada di dalam khemah terutama pada waktu tengah hari.

“Para jemaah disarankan supaya berada di dalam khemah dan mengelakkan aktiviti luar yang tidak perlu, khususnya ketika cuaca sangat panas,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau turut menekankan kepentingan pengambilan air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi, yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius.

Dalam masa sama, jemaah yang perlu bergerak ke Masjidil Haram disaran menggunakan laluan berbumbung atau payung bagi mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari.

Selain itu, penggunaan pelitup muka turut digalakkan bagi melindungi diri daripada habuk dan debu yang boleh menjejaskan kesihatan, khususnya saluran pernafasan.

Dr Zulkifli berkata, aspek kesihatan perlu diberi perhatian serius, lebih-lebih lagi hanya beberapa hari lagi menjelang wukuf yang merupakan rukun utama haji.

“Semua jemaah perlu menjaga kesihatan diri dengan baik supaya dapat melaksanakan ibadah dalam keadaan sempurna,” katanya.

Beliau turut menyeru jemaah supaya memperbanyakkan doa agar perjalanan ibadah haji dipermudahkan serta diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci.

“Semoga semua jemaah haji diberikan kesihatan terbaik dan dikurniakan haji yang mabrur,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement