MALAYSIA

Jemaah haji dirawat di Mekah: RM500,000 diperlukan bawa pulang Asmah ke Malaysia

Bernama 12/11/2025 | 13:30 MYT
Mohd Na'im berkata beliau juga sempat bertemu Asmah di hospital semasa lawatan kerjanya ke Arab Saudi baru-baru ini dengan jemaah itu memohon agar dibawa pulang ke tanah air. - Gambar Facebook Mohd Na'im
KUALA LUMPUR: Kira-kira RM500,000 diperlukan bagi membawa pulang jemaah haji Malaysia Asmah Mansor, 71, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital, Mekah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.


Ringkasan AI
  • RM500,000 diperlukan untuk pulangkan jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor, 71, dari Mekah yang kini dirawat di ICU Saudi German Hospital.
  • Kutipan derma telah dilancarkan melalui Tabung Musa'adah JAKIM dan Yayasan Waqaf Malaysia, dengan hampir RM10,000 terkumpul setakat ini.
  • Rakyat Malaysia digalakkan menyumbang untuk membantu pulangkan Asmah sebagai amal jariah, dengan beliau disahkan menghidap pneumonia dan masih memerlukan pemantauan rapi di hospital.


Beliau berkata kutipan derma bagi tujuan itu telah dilancarkan melalui Tabung Musa'adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Yayasan Waqaf Malaysia.

"Alhamdulillah, setakat hari ini kita sudah kumpul hampir RM10,000. Berdasarkan maklumat daripada doktor pakar di Arab Saudi dan pasukan perubatan Tabung Haji, anggaran kos membawa pulang Hajah Asmah ke tanah air mencecah RM500,000," katanya selepas merasmikan Kelas Bimbingan Fardu Ain (KAFA) Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak 2025, di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata beliau juga sempat bertemu Asmah di hospital semasa lawatan kerjanya ke Arab Saudi baru-baru ini dengan jemaah itu memohon agar dibawa pulang ke tanah air.

"Bayangkan, hampir empat bulan Hajah Asmah berada di negara orang, jauh daripada keluarga dan tidak tahu berbahasa Arab. Hanya warga kerja Tabung Haji yang datang sekali-sekala memberi semangat kepadanya," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama menyumbang bagi membantu membawa pulang Asmah ke tanah air sebagai satu bentuk amal jariah.

"Kita mahu memberi peluang kepada rakyat untuk turut sama buat pahala. Ini amal jariah yang besar, insya-Allah pihak kerajaan juga akan membantu," katanya.

Semalam, Mohd Na'im berkata jemaah itu disahkan menghidap pneumonia dan sedang menerima rawatan di Saudi German Hospital sejak 13 Sept lepas.

Beliau turut memaklumkan Asmah telah menyempurnakan ibadah haji sebelum dimasukkan ke hospital dan kini masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.

-- BERNAMA



#JAKIM #Tabung Haji #OKU #ICU