SEPANG: Jemaah haji Malaysia yang bakal menunaikan ibadah haji di tanah suci diharapkan terus mengekalkan nama baik Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, ini kerana jemaah Malaysia sememangya terkenal sebagai jemaah yang berdisplin selain berakhlak yang baik sejak dahulu lagi.

"Saya menasihatkan diri saya dan tuan-tuan, puan-puan untuk kekalkan disiplin, kita kekalkan nama baik kita sebagai bakal haji Malaysia yang akan memastikan disiplin, akhlak dijaga ketika di tanah suci.

"Saya harapkan tuan-tuan dan puan-puan ikut peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi. Kita kena ikut. Kena jaga akhlak kita dan hubungan sesama manusia dan kekalkan nama baik orang Malaysia ketika menunaikan haji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melepaskan Jemaah Haji Malaysia bagi Musim Haji 1444H di Sepang pada Khamis.

Tambah Mohd Naim, meskipun musim panas dijangka berterusan di tanah suci pada musim ini, namun jemaah haji ujarnya, perlu sentiasa bersedia dan berdisplin meskipun dalam keadaan cuaca panas.

Bagi musim haji 1444H kali ini, sebanyak 31,600 jemaah dari Malaysia bakal menunaikan rukun Islam ke lima itu.

Bagi tahun ini, hari Wukuf pada 9 Zulhijah (Selasa) bersamaan 27 Jun 2023.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah Haji Malaysia melibatkan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.