Program Ziarah Luar Tabung Haji (TH), dengan membawa jemaah haji menziarah tempat bersejarah di Madinah, mendapat pujian kerana bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman mengenai Islam malah memantapkan persediaan sebelum mengerjakan ibadah haji.

Selain Masjid Nabawi yang merupakan masjid kedua terpenting dalam Islam, program itu termasuk menziarah Masjid Quba, masjid pertama dibangunkan Nabi Muhammad SAW selepas berhijrah ke Madinah dari Makkah. Baginda sering menunaikan solat di masjid berkenaan pada Sabtu.

Berdasarkan sabda Rasulullah: "Sesiapa mengambil wuduk di rumah dan menunaikan solat sunat dua rakaat di Masjid Quba, mereka akan menerima ganjaran sebagaimana mengerjakan umrah," kata Ketua Muzawir Mohd Fakhruddin Parazi mengenai Program Ziarah Luar TH itu,

Jemaah haji juga dibawa menziarah Bukit Uhud yang merupakan tapak sejarah mencatat detik hitam kekalahan tentera Islam di tangan tentera kafir Qurasiy, dan makam Saidina Hamzah berdekatan Bukit Uhud yang dikebumikan bersama 69 pejuang Islam mati syahid dalam peperangan Uhud.

Selain itu, program lawatan turut ke Masjid Qiblatain, masjid dua kiblat di mana terdapat dua mihrab (tempat imam memimpin solat), yang kiblatnya masing-masing menghadap Masjid Al Aqsa, di Baitul Maqdis dan Kaabah di Makkah.

Masjid Qiblatain yang termasuk dalam kumpulan masjid kecil dikenali sebagai Masjid Tujuh turut dimasukkan dalam program ziarah berkenaan. Masjid-masjid itu terletak di barat Gunung Sala' tempat berlakunya pertempuran Khandaq pada zaman Rasulullah SAW.

Mohd Fakhruddin, 26, yang juga pelajar tahun tiga Fakulti Hadis dan Pengajian Islam Universiti Islam Madinah, berkata 70 muzawir atau pembimbing ziarah terlibat dalam program ziarah itu, dengan kebanyakannya terdiri daripada pelajar Malaysia yang menuntut di universiti tersebut.

Beliau berkata jemaah haji Malaysia menyambut baik program ziarah itu kerana menyedari betapa Madinah mempunyai kelebihan dan keistimewaan, selain dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat, serta ganjaran menunaikan solat di masjid-masjid diziarahi itu.

"Mereka boleh membawa pengetahuan dan semangat ini apabila pergi ke Makkah, Misalnya bagaimana sahabat Rasulullah sanggup berkorban apabila sahabat lain berdepan masalah," kata Mohd Fakhruddin.

Pasangan suami isteri jemaah haji dari Kelantan, Mohammad Adnan Mohammad Kassim, 42, dan Suhaila Muhammad, 40, memuji pembimbing ziarah kerana memberikan penerangan dan fakta jelas mengenai sejarah peperangan Uhud dan pengorbanan syuhada Uhud.

"Penerangan yang disampaikan sangat terperinci yang sebelum ini kita tidak ketahui. Beliau memberi penerangan satu persatu syuhada yang terkorban dalam peperangan tersebut. Ini pengetahuan yang amat berguna," katanya.

Abdul Ghazi Che Wan, 67, dari Grik, Perak, pula bersyukur dapat menziarah semua lokasi bersejarah itu yang mempunyai kaitan dengan sejarah perjuangan dan kehidupan Rasulullah SAW.

"Ini kali pertama saya menjejakkan kaki di Tanah Suci, dan bertambah gembira dapat datang bersama sembilan anggota keluarga lain dan ditempatkan di hotel penginapan yang sama. Saya sangat bersyukur," katanya.

-- BERNAMA