Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

Jemaah Menteri rujuk Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen - Azalina


Seth Akmal 05/12/2025 | 07:15 MYT
Jemaah Menteri memutuskan untuk merujuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. - Gambar fail/Japen
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri memutuskan untuk merujuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen oleh Jemaah Menteri bagi tujuan penyiasatan lanjut, tindakan selaras dengan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
  • Keputusan ini membolehkan Ahli Parlimen diberi peluang untuk bersuara dalam jawatankuasa dan memastikan penyiasatan dijalankan dengan integriti dan kebebasan di bawah Kerajaan MADANI.
  • Usul untuk menggantung Takiyuddin daripada Dewan Rakyat selama enam bulan ditangguhkan, berikutan kenyataan kontroversi beliau yang mengaitkan latihan Maritim Malaysia dengan peristiwa Memali di Baling.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan hari ini berkata keputusan tersebut diambil bagi memastikan bahawa Ahli Parlimen juga diberikan ruang untuk didengar dalam jawatankuasa.

Tambahnya, ia membolehkan sebarang dapatan dibuat Jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan,” katanya,

Azalina turut optimis di bawah Kerajaan MADANI bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ditangguhkan ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Usul itu mengenai kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional itu yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Marang dengan peristiwa Memali di Baling.

Terdahulu, suasana Dewan menjadi hangat apabila wakil rakyat kerajaan dan pembangkang saling bangkit mencelah, memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, beberapa kali memberi amaran dan mengarahkan beberapa ahli pembangkang untuk duduk.

Empat ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan ialah Takiyuddin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut); Suhaizan Kayat (PH-Pulai); dan Syahredzan Johan (PH-Bangi).

Dalam perbahasannya, Takiyuddin memohon supaya usul penggantungannya selama enam bulan dipinda dan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Takiyuddin juga menegaskan keperluan prosiding yang adil serta peluang untuk menyatakan pembelaan terhadap dakwaan yang dibuat sebelum ini.







#Dewan Rakyat #Takiyuddin Hassan #pembangkang #Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen #memali