KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri secara prinsip bersetuju dengan cadangan pelaksanaan mekanisme 'two tier pricing' atau harga dua peringkat untuk mengawal harga minyak masak, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata cadangan itu antara lain melibatkan pendekatan baharu penetapan harga minyak sawit mentah (CPO) yang berbeza bagi edaran domestik dan eksport.

"Arahan lanjut daripada Kabinet berkaitan cadangan itu ialah supaya kementerian yang terlibat membuat sesi libat urus langsung dengan pemain industri berkaitan.

"Saya yakin Kementerian Perladangan dan Komoditi akan membuat pengumuman berkaitan pendekatan harga dua peringkat bagi CPO ini tidak lama lagi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata anggaran RM1.9 bilion diperlukan KPDN bagi melaksanakan subsidi minyak pada tahun ini.

Beliau berkata peruntukan asal berjumlah RM500 juta telah habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini, manakala dana tambahan RM400 juga sudah digunakan.

"Khamis lepas kita dapat lagi tambahan RM350 juta untuk tampung keperluan subsidi ini dan Kementerian Kewangan sudah beri komitmen bahawa peruntukan tambahan akan disalur bagi teruskan subsidi," katanya.

Menurutnya peningkatan peruntukan yang diperlukan bagi tujuan pelaksanaan subsidi minyak itu berpunca daripada kenaikan luar jangka dan keterlaluan harga CPO.

Beliau berkata pada 2019 kerajaan hanya memperuntukkan sejumlah RM269 juta bagi subsidi itu, sebelum meningkat kepada RM528.2 juta pada 2020, RM2.19 bilion (2021) dan RM2.41 bilion tahun lepas.

Dalam pada itu, menjawab celahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengelakkan ketirisan subsidi minyak, Armizan berkata pengagihan minyak mengikut zon antara syor yang dipertimbangkan untuk mengatasi isu itu.

"Sekarang kita buat edaran mengikut negeri tapi kita fikir pengagihan mengikut zon seperti Utara, Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak mungkin lebih mudah untuk lakukan pemantauan.

"Bagaimanapun, kita akan lihat laporan audit yang kita jangka terima pada suku pertama tahun depan dan jadikannya rujukan untuk merangka mekanisme baharu yang lebih baik," katanya.

Mengulas lanjut, katanya dalam tempoh Januari hingga September tahun ini sebanyak 169 tindakan kes penguatkuasaan berkaitan minyak masak direkodkan KPDN dengan nilai rampasan RM1.85 juta, selain menerima 624 serahan kes daripada pelbagai agensi berkaitan melibatkan RM4.4 juta nilai rampasan.

Beliau berkata KPDN juga melihat keperluan untuk memperkasa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan memperkukuh Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kawal selia kartel terkait penetapan harga, pengeluaran dan pengawalan pasaran serta tipu bida perolehan.

"Sejak ditubuhkan pada 2011, sebanyak 275 syarikat telah dikenakan penalti kewangan oleh MyCC dengan 430 kes masih dalam siasatan," katanya.

Mengulas mengenai program Jualan Rahmah, Armizan berkata KPDN akan melancarkan kad diskaun Rahmah esok sebagai insentif kepada semua pengusaha kafe dan restoran yang menyokong inisiatif oleh kerajaan itu.

"Dengan kad ini pengusaha boleh membeli barang keperluan perniagaan pada kadar diskaun tertentu di enam pasar raya yang menjalin kerjasama dengan kementerian," katanya.

-- BERNAMA