MALAYSIA

Jemaah terhutang budi, makanan tajaan YRI bantu tambah selera di Tanah Suci

Azlinariah Abdullah 12/07/2025 | 01:10 MYT
Pek makanan tajaan Yayasan Rizalman Ibrahim merangkumi menu Daging Nasi Kandar, Gulai Ayam Siam, Sambal Ikan Bileh Gaghin, Paceri Nangnaih Ghontot dan Sambal Safar.
SEJAK akhir bulan lepas, apabila musim haji 1446H berakhir dengan jemaah pulang ke tanah air, ada tekad pembaharuan dan pelbagai kenangan dibawa bersama mereka.

Sudah pasti, paling dimahukan jemaah ialah memperoleh haji mabrur dan ibadah yang dilakukan di Tanah Suci pula diterima Allah SWT.

Namun, ingatan yang dibawa pulang juga tidak kurang. Antaranya kenangan menikmati sajian serta hidangan sepanjang 40 hingga 50 hari berada di Mekah dan Madinah.

Walaupun jemaah muassasah yang diuruskan Tabung Haji (TH) disediakan makanan untuk tengah hari dan malam, ada kalanya jemaah jemu dengan hidangan disajikan, lebih-lebih lagi ada kalanya cita rasa tidak memenuhi tekak "kemelayuan.”

Mujur ada beberapa pek makanan yang ditaja Yayasan Rizalman Ibrahim (YRI) untuk membantu menambah selera jemaah sepanjang mereka menunaikan ibadat haji.

Lima pek makanan sedia dimakan (RTE) ini dibekalkan YRI kepada 31,600 jemaah muassasah Malaysia dengan diletakkan di dalam beg sandang masing-masing yang diberi percuma oleh TH.

Menu-menu itu ialah Daging Nasi Kandar, Gulai Ayam Siam, Sambal Ikan Bileh Gaghin, Paceri Nangnaih Ghontot dan Sambal Safar.

"Saya tiada masalah dengan sajian di sini, cuma, selepas sekian lama, makan asyik menu sama, saya rindu dengan makanan Malaysia. Alhamdulillah, ada Daging Nasi Kandar, terubat sedikit rindu untuk menikmati masakan Malaysia.

"Itu juga adalah kenangan yang saya bawa balik ke Malaysia. Soal makanan ini penting dijaga sebab, kalau tidak makan, lapar, kalau lapar, tiada tenaga, susah nak beribadat. Jadi, saya bersyukur kerana dapat juga makan menu Malaysia tajaan YRI untuk saya dan semua jemaah di Mekah serta Madinah, " kata Shaharul Akmar Muhamad, jemaah dari Kuala Lumpur.

Shaharul Akmar menghabiskan masa selama 42 hari berada di Mekah dan Madinah untuk musim haji 1446H/2025M.

Dalam pada itu, seorang lagi jemaah Farah Athirah Wahairi pula mengakui lima pek makanan yang disediakan YRI itu membantu menambah seleranya sepanjang lebih 40 hari berada di Tanah Suci.

"Saya hamil lima bulan, selera jadi macam-macam. Pada kebanyakan masa, saya makan makanan yang disediakan, tetapi, ada kalanya teringin menikmati masakan yang masam, manis dan pedas.

“Alhamdulillah, ada pek makanan paceri, sambal bilis dan ayam dimasak seperti masak asam. Jadi, bila dikenang balik, pek-pek makanan ini benar-benar membantu menambah selera makan," kata Farah Athirah, yang juga seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Farah Athirah Wahairi


Farah Athirah sudah pulang ke tanah air pada 23 Jun lepas apabila menghabiskan selama 43 hari untuk tujuan mengerjakan haji.

Seorang pesara, Khairudin Ahmad dari Pahang pula mengakui menggemari kesemua pek makanan yang disediakan oleh YRI itu.

"Semua menu saya suka, saya habiskan. Maklumlah, makanan yang disediakan walaupun lazat, ada ketikanya kurang memenuhi selera dan tekak Melayu saya. Jadi, saya berterima kasih dan terhutang budi kepada YRI kerana menyediakan lima pek makanan RTE untuk kami jemaah haji menikmati sajian Malaysia di Mekah dan Madinah," katanya.

Ketika ini, semua jemaah haji Malaysia sudah kembali ke pangkuan keluarga selepas menghabiskan masa di Tanah Suci antara 40 hingga 56 hari di sana.

Penerbangan terakhir membawa pulang jemaah haji bagi musim kali ini ialah pada 10 Julai lalu.

Shaharul Akmar Muhamad (kiri) dan Khairudin Ahmad.







#jemaah haji Malaysia #pek makanan tajaan #Yayasan Rizalman Ibrahim #Haji 1446H #Tanah Suci