[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Jenayah Indeks Malaysia merekodkan 58,255 kes pada 2024

Astro Awani 16/10/2025 | 04:30 MYT
Peningkatan jenayah didorong terutamanya oleh jenayah harta benda, yang melonjak 12.4 peratus kepada 47,188 kes - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 58,255 kes jenayah indeks pada 2024, meningkat 11.1 peratus berbanding 52,444 kes pada tahun sebelumnya.

Menurut Laporan Statistik Jenayah, Malaysia 2025 yang merangkumi data jenayah bagi tempoh 2022 hingga 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan ini didorong terutamanya oleh jenayah harta benda, yang melonjak 12.4 peratus kepada 47,188 kes.

Manakala jenayah kekerasan turut meningkat 5.9 peratus dengan 11,067 kes direkodkan.

"Walau bagaimanapun, kes bunuh menunjukkan penurunan ketara, turun 9.5 peratus kepada 237 kes

"Kes bunuh tanpa niat kekal rendah dengan dua kes sahaja, manakala kes penculikan juga menurun kepada 17 kes, termasuk 11 kes melibatkan kanak-kanak", kata laporan tersebut.

Selain itu, kes jenayah seksual mencatatkan corak bercampur.

Kes rogol meningkat 12.1 peratus kepada 1,899 kes, dengan peningkatan ketara bagi rogol dengan rela (29.3 peratus), namun penurunan 15.3 peratus bagi rogol dengan paksaan.

Trend ini dipercayai mencerminkan perubahan dalam corak pelaporan dan kesedaran masyarakat.

Sementara itu, kes samun menurun 6.8 peratus kepada 4,276 kes, di mana majoriti melibatkan mangsa individu (41.7 peratus), diikuti kes lain-lain (38.2 peratus), premis (13.5 peratus ), dan kenderaan (6.7 peratus).

Kes pecah rumah dan curi turut menurun 1.8 peratus, dengan 77.6 peratus kejadian berlaku pada waktu malam.

Sebaliknya, kes dadah terus meningkat naik 10.6 peratus kepada 81,090 kes, termasuk peningkatan 4.6 peratus bagi kes bekalan dan 12.7 peratus bagi pemilikan dadah.

Trend ini menunjukkan penguatkuasaan yang lebih agresif dan kemungkinan peningkatan penggunaan bahan terlarang dalam masyarakat.

Di samping itu, tangkapan berkaitan kes suapan (rasuah) meningkat 24.6 peratus dengan 764 individu ditahan. Kes memberi suapan melonjak 51.2 peratus.

"Kes menerima suapan naik 20.3 peratus menunjukkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras amalan rasuah

"Penyelewengan barang kawalan juga meningkat 19.1 peratus kepada 2,243 kes, dengan diesel (30 peratus), petrol (26.7 peratus), dan minyak masak (19.8 peratus) menjadi bahan paling banyak diseleweng", tambah laporan tersebut.

Kes keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mencatatkan lonjakan tertinggi meningkat 71.1 peratus kepada 296 kes, kebanyakannya melibatkan sektor pembuatan (57.4 peratus) dan pembinaan (27.4 peratus).

Sementara itu, jenayah terhadap haiwan menurun kepada 12 kes, dan rompakan laut kekal hampir sifar tiada kes dilaporkan pada tahun 2024.

Statistik pemulihan menunjukkan peningkatan 28.4 peratus dalam jumlah banduan disabit kesalahan, menjadikan keseluruhan 128,916 individu.

Banduan lelaki mewakili 90.9 peratus, manakala banduan wanita 9.1%, daripada jumlah tersebut.

Buat pertama kalinya, laporan ini diselaraskan sepenuhnya dengan International Classification of Crime for Statistical Purposes (ICCS) Versi 1.0 oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) membolehkan perbandingan antarabangsa yang lebih tepat serta analisis jenayah yang lebih komprehensif merentasi 11 kategori utama.




#Jabatan Perangkaan Malaysia #jenayah #Malaysia