MALAYSIA

Jenayah kekerasan pelajar di Melaka meningkat, kes pukul paling tinggi direkodkan

Astro Awani 23/10/2025 | 09:30 MYT
Dzulkhairi berkata, secara keseluruhan, sebanyak 36 kes jenayah kekerasan melibatkan pelajar direkodkan di seluruh negeri dari Januari hingga September lalu.
MELAKA: Kes pukul termasuk serangan fizikal dikenal pasti sebagai kategori jenayah kekerasan paling tinggi melibatkan pelajar sekolah di negeri ini dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kes pukul dan serangan fizikal dikenal pasti sebagai jenayah kekerasan paling tinggi melibatkan pelajar sekolah di Melaka dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan 36 kes direkodkan.
  • Seramai 18 pelajar ditahan di bawah Seksyen 324, 325 dan 326 Kanun Keseksaan, manakala kes rogol mencatatkan 12 kes, diikuti empat kes rompakan dan dua kes bunuh.
  • Polis turut merekodkan 32 kes jenayah harta benda melibatkan pelajar termasuk kecurian kenderaan, pecah rumah dan kecurian lain, serta merampas barang larangan seperti kad terup dan telefon bimbit dalam lawatan mengejut ke sekolah.


Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, secara keseluruhan, sebanyak 36 kes jenayah kekerasan melibatkan pelajar direkodkan di seluruh negeri dari Januari hingga September lalu.

Beliau berkata, seramai 18 pelajar telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 324, 325 dan 326 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan mencederakan orang lain, termasuk menggunakan senjata.

Menurutnya, tahun 2024 merekodkan sebanyak 27 kes melibatkan kesalahan sama.

Katanya, jenayah kekerasan masih kekal sebagai kes paling tinggi dalam kalangan pelajar sekolah.

“Berdasarkan statistik, kesalahan pukul bukan sahaja melibatkan kecederaan ringan, namun beberapa kes telah menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

"Ini termasuk dengan penggunaan senjata, yang mana kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru, di sini, pada Khamis.

Katanya, kategori kedua tertinggi melibatkan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan rogol dengan 12 kes direkodkan bagi tempoh sama.

Beliau menambah, selain itu, sebanyak empat kes di bawah Seksyen 394 dan 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dan rompakan berkumpulan direkodkan tahun ini.

“Kita turut merekodkan dua kes bunuh masing-masing di daerah Melaka Tengah dan Jasin,” jelasnya.

Menurut Dzulkhairi, dalam tempoh yang sama, sebanyak 32 kes jenayah harta benda melibatkan pelajar direkodkan, dengan kecurian kenderaan bermotor menjadi yang tertinggi 12 kes, diikuti 16 kes pecah rumah dan lima kes kecurian lain.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya turut menemui beberapa barang larangan yang dibawa oleh pelajar ketika lawatan mengejut itu dijalankan.

Antara barangan yang dirampas termasuk kad terup dan telefon bimbit.

Dzulkhairi berkata, Polis Melaka melaksanakan lawatan rawak ke empat sekolah menengah pada Khamis, yang dikendalikan sendiri oleh pegawai kanan bagi memastikan persekitaran sekolah bebas daripada gejala jenayah dan masalah disiplin.


#kes pukul pelajar #Melaka #kes jenayah pelajar #Dzulkhairi Mukhtar