MALAYSIA
Jenayah seksual di Terengganu meningkat dalam tempoh enam bulan pertama 2025
Kes jenayah seksual di Terengganu bagi tempoh 1 Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. - Foto hiasan
KUALA TERENGGANU: Kes jenayah seksual di Terengganu bagi tempoh 1 Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata sebanyak 108 kes jenayah seksual dilaporkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 104 kes dalam tempoh sama tahun lepas, dengan jumlah kes tertinggi membabitkan kejadian rogol dan sumbang mahram.
Beliau berkata mangsa yang terlibat berusia antara lima hingga 27 tahun, manakala suspek berumur antara 15 hingga 72 tahun, dan sebahagiannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
"Kes rogol meningkat kepada 41 kes pada tahun ini berbanding 37 kes tahun lepas, manakala sumbang mahram pula bertambah kepada sembilan kes tahun ini berbanding lima kes tahun lepas.
"Antara faktor penyumbang, kurangnya kepekaan ibu bapa tentang trend jenayah semasa melibatkan kanak-kanak serta kurang perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga sehingga mangsa takut untuk menceritakan perkara sebenar," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.-- LAGI
Sehubungan dengan itu, Mohd Khairi menasihati supaya ibu bapa sentiasa memantau gajet anak-anak dan peka dengan keadaan semasa, manakala masyarakat pula digesa supaya menyalurkan maklumat dengan segera kepada pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khairi berkata polis menahan 14 suspek dan merampas 25 motosikal serta sebuah kereta dalam Op Lejang Khas yang dijalankan bermula 18 hingga 30 Jun.
Beliau berkata ia hasil pemeriksaan terhadap 382 individu, 622 motosikal dan 26 kereta di beberapa lokasi, termasuk premis kedai, bengkel dan stor barang lusuh.
"Op Lejang Khas menyasarkan tindakan penguatkuasaan dan pencegahan terhadap jenayah harta benda.
"Sebanyak 14 suspek lelaki, berusia antara 17 hingga 42 tahun yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil," katanya.
-- BERNAMA