MELAKA: Jenayah siber di Melaka terus mencatatkan peningkatan, iaitu sebanyak 538 kes melibatkan kerugian RM8.59 juta dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang merekodkan kes tertinggi, iaitu sebanyak 212 kes dengan kerugian RM1.65 juta, diikuti penipuan pelaburan dalam talian dengan jumlah 103 kes melibatkan kerugian RM3.55 juta.
Advertisement
"Kes melibatkan penipuan pembelian dalam talian kerap berlaku menjelang Aidilfitri disebabkan kebanyakan pengguna gemar membeli secara dalam talian tetapi barangan yang dibeli tidak diterima selepas pembayaran dibuat.
"Penipuan pelaburan tidak wujud termasuk menerusi platform Telegram ialah kes yang merekodkan kerugian besar sama seperti tahun lepas, iaitu sebanyak 318 kes dengan jumlah kerugian RM31.4 juta," katanya kepada pemberita di Konti Melaka FM, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas program bual bicara santai "Kokenut Shake Dulu" Polis dan Anda sempena sambutan Hari Polis ke-219, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Superintenden Eu Kee Leong.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata pinjaman tidak wujud merekodkan kes penipuan siber ketiga tertinggi, iaitu 84 kes dengan kerugian RM719,980.73, diikuti penipuan tawaran pekerjaan yang mencatatkan 58 kes dengan kerugian RM643,855.66.
Beliau berkata 'phone scam' pula merekodkan 46 kes yang menyaksikan kerugian sebanyak RM1.3 juta, manakala tipu menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang pula sebanyak 24 kes melibatkan kerugian RM133,721.
"Love scam atau parcel scam pula merekodkan sebanyak 11 kes dengan jumlah kerugian RM602,010. Love scam melibatkan tempoh perkenalan yang agak panjang antara tiga ke enam bulan untuk mengenal pasti kelemahan mangsa sebelum memerangkap mereka.
"Mangsa jenayah siber terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur seperti penipuan pelaburan tidak wujud melibatkan mangsa yang mempunyai sumber kewangan stabil atau daripada keluarga berada, manakala love scam terdiri daripada ibu tunggal, individu bujang dan mereka yang kesunyian," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 200 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi mengawal pergerakan trafik dan keselamatan di sekitar Ayer Keroh sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026, yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini Sabtu ini.
Beliau berkata pengunjung rumah terbuka berkenaan dinasihatkan mematuhi arahan polis serta pihak berkuasa yang terlibat, dan memandu secara berhemah supaya aliran trafik berjalan lancar.
-- BERNAMA