ALOR SETAR: Jenazah pelakon veteran Abu Bakar Omar, 72, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Jalan Pegawai dekat Alor Setar, kira-kira jam 5.40 petang Jumaat.

Terdahulu, jenazah Abu Bakar dibawa ke masjid Al Ghufran, Jalan Pegawai dari kediamannya di Jalan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang untuk disembahyangkan.

Kira-kira 300 orang hadir terdiri daripada ahli keluarga, sahabat dan peminat sama-sama menunaikan solat jenazah.

Menurut anak Allahyarham, Afandi, 43, pemergian bapanya sangat dirasai oleh ahli keluarga berikutan dia tidak pernah menunjukkan gejala sakit kronik kecuali merasa letih sejak Rabu lalu.

Pesanan yang akan diingati sampai bila-bila apabila arwah pergi ialah beliau selalu menasihati adik-beradik agar tidak berbuat zalim dengan orang dan sentiasa menyayangi orang tua.

"Jangan buat zalim dekat orang... sayang ibu bapa, jangan buat zalim pada orang. Yang selalu arwah pesan ialah jangan buat zalim dekat orang.

"Arwah ada satu pepatah daripada arwah nenek saya, iaitu menang tidak semestinya menang, dan mengalah tidak semestinya kalah, selalu arwah cakap macam tu... (pada) anak-anak cucu dia pun dia (ada) cakap," luahnya. 

Afandi yang, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, bapanya tidak lagi aktif berlakon lebih lima tahun lalu berikutan tidak mahu menyusahkan orang lain.

Katanya, memang ada tawaran berlakon untuk bapanya tetapi arwah menolak kerana ingin bersama keluarga di mana rutin hariannya setiap pagi selepas solat subuh, arwah akan membaca Al-Quran.

Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir selepas dipercayai menghadapi masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC), kira-kira jam 9.04 pagi Jumaat.

BACA: Pelakon Abu Bakar Omar meninggal dunia

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Faridah Manaf, 66, empat orang anak dan 15 orang cucu.

Sementara itu, bagi sahabat baik Allahyarham, Harun Hassan, 62, berkata dia mengenali arwah sejak kecil dan menyifatkan arwah seorang yang pemurah.

Katanya arwah tidak pernah sombong biarpun sudah bergelar pelakon.

"Memang saya daripada kecil sampai besar kalau saya pergi Kuala Lumpur, saya duduk di rumah Allahyarham, kira dia balik ke sini pun saya memang kena jaga dialah.

"Dia memang tidak lokek dari segi wang ringgit jika hendak pergi ke KL, tidak perlu risau hendak bawa keluar duit poket kerana semua dia akan belanja," kongsi sahabat baik Allahyarham.