Jenazah balu Harussani selamat dikebumi di sebelah pusara suami

Amirrul Rabbani
Februari 24, 2022 03:57 MYT
Ahmad Wafi (berbaju Melayu hitam) sedang menyiram air di pusara bonda tercintanya. - Foto Astro AWANI
IPOH: Jenazah balu kepada bekas Mufti Perak, Puan Sri Ainon Abdul Ghani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat, dekat sini kira-kira jam 11.25 pagi Khamis.
Jenazah Allahyarham disemadikan bersebelahan dengan pusara Allahyarham suaminya, Tan Sri Harussani Zakaria.
Van yang membawa jenazah Allahyarhamah Ainon, tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 10.55 pagi dan urusan pengebumian dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan dan diimamkan anak bongsunya, Datuk Ahmad Wafi Harussani di Masjid Jamek Kampung Melayu, Sungai Rapat di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, sebelum dikebumikan.
Semalam, media melaporkan Allahyarham, 82, meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang setibanya di Kinta Medical Centre di sini untuk mendapatkan rawatan akibat demam.
Ahmad Wafi dilaporkan berkata, ibunya meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan.
Menurutnya lagi kesihatan ibunya merosot sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Ainon pernah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat jangkitan COVID-19 bersama suaminya, Allahyarham Harussani.
Namun, beliau sudah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei 2021.
Harussani, 82, meninggal dunia pada 30 Mei 2021 diikuti anak sulung mereka, A. Abdul Hakim Mazhar, 54, meninggal dunia akibat wabak berkenaan pada Ogos tahun lalu.
Allahyarham Harussani dan Ainon mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.
Namun seorang lagi anak lelaki mereka, Abdul Hakam meninggal dunia pada usia 24 tahun pada tahun 1994 setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di Mesir.
#Ainon Abdul Ghani #balu Harussani Zakaria #meninggal dunia #Ahmad Wafi Harussani